DAKWA HUSAM SEPERTI ‘GILA TALAK’

RANTAU PANJANG – Tindakan Penasihat Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa menentukan hala tuju Pas dilihat umpama cuba mencipta isu demi populariti peribadi.

Presiden Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Razak Abas berkata, Husam gemar mencari kesalahan Pas sedangkan beliau tidak lagi mempunyai apa-apa peranan dalam parti berkenaan.

Menurutnya, tindakan Husam seperti ‘gila talak’ memberi gambaran beliau seorang yang gagal menjadi pemimpin yang baik ketika berada dalam senarai pemimpin tertinggi parti.
“Kenapa selepas dibuang dari parti, baru beliau nak ubah macam-macam, kenapa tidak ketika beliau menjadi Exco dan Naib Presiden parti,” katanya.

Selain itu, Razak berkata, kejadian Husam dihalau keluar dari Sidang Dun Kelantan adalah perkara biasa dalam dunia politik.

Katanya, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh juga pernah dihalau dari dewan atas pelbagai faktor.

“Husam sepatutnya sedar dengan tindakannya dan menghormati dewan seperti seorang pemimpin yang baik,” katanya.

Dalam pada itu, Razak berkata, PKR dan DAP diingatkan supaya berhati-hati dengan tindak tanduk Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang licik.

Beliau berkata, Tun Mahathir mungkin akan mengulangi tindakan seperti mana yang dilakukan pada 1969 lalu.

“Mahathir dipecat keluar Umno ketika pentadbiran Tunku Abdul Rahman, namun beliau masuk semula dalam parti itu ketika Tun Abdul Razak.

“Kali kedua beliau keluar Umno adalah ketika tidak menyokong cara pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan terbaharu, beliau keluar Umno sekali lagi kerana tidak suka pada Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

Razak berkata, ketika keluar parti, Mahathir akan mengutuk parti lawan dan memuji parti lain.

Beliau percaya, Mahathir akan mengulangi sejarah, kembali semula dalam Umno dan mengutuk DAP, PKR dan Pas jika Najib berundur.

Sikap lalang itu katanya, menyebabkan politik tanah air tidak lagi disegani atau dihormati penduduk di negara ini.

– SH