DAKWA ARMADA DIMANIPULASI MAHATHIR

SHAH ALAM – Bekas Exco Armada, Muhammad Hafiz Azhar mendakwa anak muda di dalam Armada dimanipulasi Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengukuhkan kedudukan, susulan sayap pemuda parti itu tidak didaftarkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Menurut Muhammad Hafiz, setelah semakan dibuat, terbukti Armada tidak wujud sekali gus jawatan di dalam Armada seluruh negara adalah satu penipuan dan tidak sah di sisi undang-undang.

“Saya telah membuat carian rasmi perlembagaan Bersatu yang telah disahkan oleh ROS, di Putrajaya, ternyata dakwaan tentang Armada benar, dan ia amat mendukacitakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dakwa Muhammad Hafiz lagi, perkara itu adalah disengajakan oleh Mahathir supaya anak muda yang menganggotai parti itu bekerja keras untuk parti sekali gus menjadi keldai tunggangan untuk bersama-sama mengukuhkan kedudukannya.

“Akhirnya semua jawatan yang tidak sah ini akan beliau (Mahathir) gantikan dengan orang-orang pilihannya seperti yang berlaku di Perak, dan negeri-negeri lain.

“Helah sebegini sememangnya salah satu rencana agung beliau demi memastikan kelangsungan politik anaknya, Datuk Seri Mukhriz yang tidak mendapat sokongan anak muda sejak awal lagi,” katanya.

Muhammad Hafiz berkata, cita-cita peribadi Mahathir menggunakan permainan politik sebegini menunjukkan beliau sememangnya tidak mempedulikan nasib parti dan ahli-ahli parti sehingga sanggup menjadikan parti sebagai barang taruhan.

“Perkara yang melibatkan perlembagaan parti bukan hal enteng kerana boleh menyebabkan pembatalan parti oleh ROS sekiranya didapati bersalah. Saya berasa tertipu,” katanya.

Malah, menurut Muhammad Hafiz, sebagai anggota pemuda parti, dia juga berasa kecewa terhadap Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang begitu mudah dipergunakan Mahathir.

Katanya, susulan rasa tertipu dan sebagai menghormati undang-undang negara, satu laporan polis dibuat kelmarin agar pihak bertanggungjawab yang terlibat dalam penipuan ini dibawa ke muka pengadilan.

– http://www.sinarharian.com.my/

.