DAIM HIDUP DALAM NOSTALGIA ZAMAN MAHATHIR – NAZRI

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz menyifatkan bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin hidup dalam nostalgia di era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, pemimpin di era itu takut untuk bersuara kerana Dr Mahathir merupakan seorang diktator.

“Mungkin Daim hidup dalam nostalgia kerana pada ketika itu beliau adalah menteri kewangan di bawah pemerintahan diktator, ia sedikit nostalgia kan.

“Tapi (ketakutan untuk bersuara) tidak berlaku di zaman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Kita sangat terbuka.

“Pada era itu, orang takut nak bersuara kerana kita semua tahu Dr Mahathir adalah diktator yang sama tahap dengan (Robert) Mugabe,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan pameran wayang kulit bertajuk Nusantara di Muzium Negara.

Nazri berkata demikian ketika ditanya mengenai luahan Daim berkaitan krisis ekonomi negara dan penyelesaiannya dengan menyebut cara kerajaan mengawal ekonomi negara amat cetek, malah ekonomi negara dijana oleh hutang.

Daim turut mencadangkan satu jawatankuasa baru berkaitan ekonomi yang terdiri dari mereka berkaliber dengan kepakaran teknikal dan berani bercakap benar.

Mengulas lanjut, Nazri yang juga anggota majlis tertinggi (MT) Umno itu berkata, pihaknya tidak memerlukan jawatankuasa baru kerana kerajaan sememangnya peka terhadap ekonomi.

“Tidak semestinya, termasuk masa zaman dia menjadi menteri kewangan ekonomi juga jatuh. Tak perlu jawatankuasa baru tapi kita akan selesaikan sendiri…ia menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melihat perkara itu,” katanya.
Ekonomi berada dalam keadaan tidak memuaskan apabila mata wang tempatan mengalami kejatuhan.

Selain itu, negara turut berhutang RM55 bilion dengan syarikat dari China bagi membangunkan landasan kereta api elektrik di Pantai Timur.

Termasuk pinjaman RM42 bilion untuk 1MDB, hutang RM50 bilion pembinaan keretapi berkelajuan tinggi antara Malaysia dan Singapura yang menjadikan kesemuanya sebanyak RM160 bilion.
353.

– M’kini

.