CUKUPKAH SEKADAR BERDEMO SAJA? KENAPA PULA CEPAT2 DIUMUMKAN HADI AWANG AKAN TURUT BERSAMA?

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan satu perhimpunan besar-besaran akan diadakan pada 4 Disember ini bagi menzahirkan keprihatinan berhubung isu Rohingya.

Tarikh dan masa perhimpunan itu dilaporkan akan diumumkan kemudian.

Katanya, perhimpunan itu akan dihadiri oleh Perdana Menteri, Najib Razak serta beberapa pemimpin lain yang antaranya ialah Presiden Pas, Hadi Awang.

Sehubungan itu, Zahid turut menggesa pemimpin daripada parti-parti politik lain untuk turut sama menyertai perhimpunan tersebut.

Masalahnya, cukupkah sekadar berhimpun saja?

Bukankah sebagai sebuah kerajaan yang sedang berkuasa, ada wang dan banyak kemudahan, Najib seharusnya sudah melakukan tindakan-tindakan tertentu untuk membantu umat Islam Rohingya yang sedang dizalimi itu?

Apa bantuan untuk mereka dan kepada pelarian yang sudah dihulurkan oleh kerajaan setakat ini?

Sudahkah nota bantahan dihantar kepada Kedutaan Myanmar atau adakah Dutanya telah dipanggil oleh Wisma Putra untuk Malaysia menyuarakan bantahan secara rasmi?

Kenapa Malaysia tidak mengambil langkah proaktif lain seperti menyekat kemasukan pekerja asing Myanmar yang sudah berlambak-lambak di negara kita?

Mengapa akhirnya berdemo juga yang jadi pilihan?

Tidakkah baru-baru ini pelbagai NGO sudah pun mengadakan demo yang sama di depan Kedutaan Myanmar?

Selepas berdemo nanti, apa tindakan seterusnya sedangkan permintaan banyak pihak agar membatalkan perlawanan bola pun tidak diendahkan oleh kabinet?

Kemudian kenapa cepat-cepat diumumkan gandingan Najib dan Hadi Awang telah bersetuju menyertai perhimpunan itu?

Tidakkah ia menampakkan perhimpunan besar-besaran 4 Disember itu lebih bernawaitu politik untuk meneruskan agenda membuai hati rakyat selepas Akta 355, berbanding keikhlasan sebenar untuk membantu umat Islam Rohingya itu?

http://shahbudindotcom.blogspot.my/2016/11/cukupkah-sekadar-berdemo-saja-kenapa.html

http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.