CUKUP-CUKUPLAH DRAMA FELDA, KATA NURUL IZZAH

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menggesa kerajaan supaya bertegas menghentikan drama pendedahan bersiri skandal membabitkan Felda.

Malah, Nurul berkata, kerajaan serta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga perlu memastikan pihak yang bertanggungjawab berhubung skandal berkenaan dihadapkan ke muka pengadilan.

“Kerajaan perlu bertegas menghentikan drama pendedahan bersiri skandal Felda serta tampil mengambil tindakan undang-undang tegas ke atas mereka yang berwajib.

“Najib juga wajib memastikan pihak yang sepatutnya bertanggungjawab sepenuhnya ke atas segala kepincangan yang binasa… dihadapkan serta-merta ke muka pengadilan tidak kira pangkat apa pun yang dipegang.

“Perdana menteri wajib mengambil langkah tuntas mendedahkan tahap skandal tenat Felda di bawah kepimpinan beliau dan bukannya melakukan pendedahan bersiri demi melindungi kerosakan parah institusi bumiputera tersebut di tangan Umno,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, anggota parlimen Lembah Pantai itu juga mempersoalkan tentang apa yang dihadapi bekas Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad yang hanya disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Nurul, adakah cukup Isa sekadar soal siasat sedangkan terdapat beberapa kes rasuah dan salah laku berlaku semasa kepimpinannya di Felda.

“Bagaimana pula dengan bekas pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad yang hanya dipanggil untuk soal siasat SPRM?

“Sedangkan beberapa kes rasuah dan salah laku berlaku di bawah pimpinannya. Cukupkah sekadar soal siasat dan tiada dapatan siasatan untuk capaian umum?” soal Nurul.

Kini kata Nurul Izzah terbukti segala yang diperjuangkan banyak pihak termasuk Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) dan Pakatan Harapan sejak sekian lama adalah demi masa depan Felda sendiri – yang kelihatan hanya mampu selamat tanpa campur tangan Umno.

Felda sebelum ini telah membuat laporan polis terhadap kemungkinan penipuan melibatkan pemaju induk untuk projek yang dibina atas tanahnya di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad berkata, laporan terhadap syarikat itu untuk mendapatkan semula pemilikan untuk empat bidang tanah yang keseluruhannya dianggar bernilai RM270 juta.

Najib pula dalam tulisan di Twitternya mengarahkan siasatan terperinci berhubung kes pemindahan hak milik tanah Felda itu dilakukan serta tindakan perlu diambil jika terdapat kecuaian atau salah laku dalam pemindahan berkenaan.

– M’kini

.