Perdana Menteri ketika menegaskan perkara itu berkata, taktik murahan dengan menyebarkan dakyah palsu kononnya Ahmad Zahid cuba menentangnya jelas memperlihatkan betapa pakatan pembangkang kini berada dalam keadaan amat terdesak.

Beliau yang mengecam keras perbuatan tidak bermaruah itu menambah, pembangkang terutamanya bekas pemimpin dalam kerajaan cemburu dengan perpaduan mutlak yang diperlihatkan dalam Perhimpunan Agung UMNO minggu lalu sehingga sanggup menggunakan taktik sedemikian.

“Jadi tidak menghairankan mereka menyebarkan khabar angin dengan tujuan meretakkan hubungan baik saya dengan Timbalan Perdana Menteri, mungkin mereka menganggap perwatakan beliau sama seperti bekas ahli parti yang mengutamakan agenda peribadi berbanding kepentingan parti dan negara.

“Mereka telah cuba segala-galanya untuk memecahbelahkan kita, tetapi mereka tidak memahami UMNO dan kesetiaan ahlinya yang tulen, iaitu mereka tetap berdiri teguh dengan parti dan kepemimpinannya dipilih secara demokrasi, tidak kira semasa susah atau senang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sejak semalam, tersebar secara meluas surat palsu kononnya ditulis Timbalan Perdana Menteri dan antara kandungannya ialah desakan agar Najib berundur daripada kerajaan, selain tuntutan agar beliau segera melepaskan jawatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, surat tersebut jelas meragukan kerana wujud pelbagai kesalahan termasuk dalam aspek format, kepala surat, kesilapan jawatan dan nama-nama pemimpin yang dinyatakan.

Dalam pada itu, Najib menyeru semua ahli UMNO agar berwaspada dengan taktik kotor pembangkang kerana selagi parti terbesar orang Melayu tersebut gagal ditumbangkan, selagi itulah dakyah palsu dan fitnah akan dilemparkan.

“Pembangkang kini amat terdesak dan dalam keadaan kucar-kacir sehingga memaksa mereka untuk bersekutu dengan orang yang bertanggungjawab memenjarakan pe­mimpin mereka (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri,” katanya.