‘CONTOHI ISTERI GUAN ENG, LETAK JAWATAN PERMATA, ROSMAH’

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor disaran mencontohi isteri Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan meletak jawatan sebagai penaung PERMATA.

ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin berkata demikian dalam perang mulut berterusan dengan pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor yang menjadikan isteri Lim, Betty Chew sebagai sasaran terkini.

“Rizal sekali lagi mengheret orang yang tidak berkaitan dalam perbincangan PERMATA. Ia adalah lucu membandingkan Chew dengan Rosmah Mansor.

“Bukankah Rizal tahu bahawa Chew menolak cadangan untuk dilantik dalam jawatankuasa Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC)?

“Selain itu, PCCC adalah sebuah organisasi perdagangan, dan bahkan bukan sebuah agensi kerajaan (seperti PERMATA),” kata Yeo dalam satu kenyataan.

Rizal Sabtu lalu mendakwa peranan Chew dalam PCCC adalah sama dengan Rosmah dalam program kontroversi pendidikan awal kanak-kanak, PERMATA di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Sedar atau tidak, isteri ketua menteri Pulau Pinang, Betty Chew, pernah dilantik sebagai Ketua Majlis Pembangunan, Pembinaan dan Pengurusan Hartanah dalam Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC)?
“Saya tidak pasti sama ada Betty menerima sebarang elaun atau ganjaran, tetapi siapakah beliau untuk dilantik sebagai salah seorang individu penting dalam PCCC jika bukan kerana beliau isteri ketua menteri Pulau Pinang?” tanya Rizal dalam catatan Facebook beliau.

Selain itu, Rizal turut merujuk dakwaan Ketua Umno bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos bahawa Pakatan Harapan (HARAPAN) telah menyalahgunakan dana daripada Yawas.

– M’kini

.