Clare Brown: Cerita sebalik cerita 1MDB dalam pembikinan

Clare Rewcastle-Brown akan menulis sebuah buku berkaitan skandal 1MDB yang dianggapnya sebagai kisah terbesar dalam kejayanya sebagai wartawan penyiasatan.

Pengarang Sarawak Report itu menyatakan buat masa ini dia mungkin kurang menulis di portal berkenaan untuk menyiapkan projek buku tersebut.

“Ia adalah cerita di sebalik cerita, bagaimana dan mengapa saya memulakan liputan mengenai skandal 1MDB. Ia begitu menarik dan mencabar!” katanya kepada Malaysiakini di Nepal semalam.

Clare berada di situ kerana menghadiri Persidangan Kewartawanan Penyiasatan Asia kedua.

Sarawak Report menjadi portal yang sering membuat pendedahan menggemparkan berkaitan skandal syarikat pelaburan milik kerajaan 1MDB.

Ia menjadi perhatian ramai kerana turut melibatkan banyak nama berprofil tinggi, termasuk Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Turut dikaitkan dalam pendedahan yang membawa kepada beberapa siasatan pihak berkuasa negara asing ialah anak lelaki Rosmah, Riza Aziz serta hartawan muda kontroversi Low Taek Jho yang lebih dikenali dengan nama Jho Low.

Kata Clare turut akan dimasukkan ke buku tulisannya nanti ialah isu pembalakan di Sabah dan Sarawak.

Wartawan British itu bagaimanapun mengakui sukar baginya menyiapkan projek buku berkenaan pada hujung tahun ini walaupun dia berharap sebaliknya.

Ditanya sama ada orang di Malaysia dapat membaca buku itu Clare berkata ia sudah pasti kerana dapat dicapai melalui atas talian.

Clare yang lahir di Sarawak memulakan blog untuk mendedahkan pelbagai maklumat berkaitan aktiviti pembalakan di Sabah dan Sarawak pada Februari 2010.

Sarawak Report itu kemudian memberi fokus kepada isu 1MDB dan dana bernilai jutaan ringgit didakwa dimasukkan ke akaun persendirian Najib.

Kerajaan mendakwa wang itu adalah derma seorang hartawan dari timur tengah.

Siasatan pihak berkuasa terhadap skandal 1MDB turut memperlihatkan Tan Sri Abdul Gani Patail diketepikan daripada jawatannya sebagai peguam negara.

Gani adalah ketua pasukan petugas khas – yang turut disertai Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Bank Negara – ketika dia digantikan dengan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Apandi sudah mengesahkan Najib tidak melakukan sebarang kesalahan kerana menerima “derma” bernilai AS$681 juta itu.

Jabatan Kehakiman AS pada September lalu mengemukakan saman sivil untuk merampas pelbagai aset – termasuk kediaman mewah dan lukisan – bernilai kira-kira AS$1 bilion yang didakwa diperoleh melalui dana 1MDB yang diselewengkan.

Perhimpunan BERSIH 5 yang dijadual diadakan di Kuala Lumpur pada 19 November ini adalah rentetan daripada desakan orang ramai untuk Najib berundur.

Mengenai isu itu Clare berkata dia tidak melihat ada kemungkinan besar untuk Najib melepaskan jawatan sebagai perdana menteri kecuali ada seseorang yang mampu menjamin tiada tindakan undang-undang boleh dikenakan ke atasnya.

“Dia (Najib) tidak dapat membuat keputusan (untuk berundur atau tidak)… dia mahu terus memiliki wangnya dan mahu terus bebas (daripada tindakan undang-undang).

“Saya tidak pasti sepenuhnya Najib yakin dapat menjamin kekal mengawal keadaan. Lihat saja kuasa-kuasa tambahan yang dipusatkan kepadanya kerana dia berasa tidak selamat.

“Saya yakin Najib langkah terbaik untuknya adalah cuba memenangi pilihan raya melalui penyalahgunaan kuasa bagi memastikan tarikh pemilihan memihak kepadanya,” kata Clare.

Clare juga berkata Najib mungkin tidak mempunyai kepercayaan penuh kepada timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana rekod silam menunjukkan anggota parlimen Bagan Datoh itu pernah “mengkhianati” orang lain.

“Raanya dia (Zahid) pernah bekerjasama dengan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim,” katanya. – M’kini

.