Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, Saga baharu ini telah meningkatkan ciri-ciri keselamatan yang melayakkan semua varian mendapat penarafan keselamatan 4-bintang ASEAN NCAP berban­ding 3-bintang sebelumnya.

Menurutnya, semua varian dilengkapi 2 beg udara di hadapan, ISOFIX dan tambatan atas (top tether) serta sensor keliling, serta dengan struktur badan lebih kukuh, Saga baharu ini mencatatkan peningkatan penarafan Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) dan Perlindungan Penum­pang Kanak-kanak (COP).

“Varian Premium dan Executive menawarkan ciri-ciri kese­lamatan menyeluruh seperti Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD), dan Bantuan Brek (BA), manakala Kawalan Kestabilan Elektro­nik (ESC), Kawalan Traksi (TC), Bantuan Daki Cerun (HHA) dan kamera belakang boleh didapati dalam varian Premium,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Proton Saga 1.3L yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di sini semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi DRB-Hicom, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil; Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Md. Radzaif Mohamed.

Saga baharu ini didatangkan dalam tiga varian iaitu Standard (MT & CVT), Executive dan Premium dengan harga bermula daripada RM36,800 hingga RM45,800 di Semenanjung Malaysia. Semua varian Saga baharu ini dilengkapi enjin VVT 1.3L, menggantikan enjin IAFM yang digunakan generasi terdahulu.

Penggunaan teknologi VVT memberikan peningkatan pres­tasi yang ketara dari segi pecutan dan penggunaan bahan api. Enjin VVT baharu ini menawarkan penjimatan bahan api se­rendah 12 hingga 14 peratus de­ngan mencatatkan penggunaan petrol 5.4L/100km berbanding 6.0L/100km sebelum ini pada varian MT, dan 5.6L/100km berban­ding 6.3L/100km sebelum ini pada varian CVT, apabila dipandu pada kelajuan 90km/j.

Saga baharu ini juga dilengkapi ciri Bantuan Pemanduan Eco untuk membantu pemandu mengekalkan gaya pemanduan menjimatkan.

Pemilik Saga baharu turut berpeluang merasai suasana kabin lebih senyap kerana perubahan dilakukan pada 3-poin mounting enjin yang memberi kesan kepada pengurangan bunyi bising, getaran dan kekasaran (NVH).

Ahmad Fuaad berkata, sejak pengenalan model pertama Saga 30 tahun lalu, Proton telah mengharungi satu perjalanan jauh dalam sejarah pembuatan model ini.

“Pelbagai penambahbaikan, pe­ningkatan dan penyempurnaan telah dilakukan dan kami percaya Saga baharu ini bakal menjadi daya tarikan, terutama buat mereka yang mahu membeli kereta baharu atau sebagai kereta kedua.

Kami telah menghasilkan rekabentuk yang bergaya, praktikal, berciri keselamatan, mudah dan selesa bagi sebuah kereta sedan mampu milik,” kata beliau.