CINA TAK KISAH DUIT CUKAI BANTU KEBAJIKAN MELAYU, ISLAM

DALAM cubaan menolak kepercayaan yang akan berlaku kekecohan jika Barisan Nasional (BN) tewas dalam pilihan raya umum akan datang, Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata masyarakat bukan Melayu tidak pernah ada masalah dengan orang Melayu.

Beliau berkata tidak ada sebab untuk percaya yang kepentingan Melayu dan Bumiputera tidak akan dilindungi, sedangkan Cina, kebanyakannya menjalankan perniagaan yang selama ini membayar sebahagian besar cukai kepada kerajaan tanpa merungut wang mereka digunakan bagi manfaat Melayu.

“Komuniti perniagaan Cina bekerja keras untuk berjaya. Mereka bayar cukai, macam-macam jenis cukai. Mereka bayar hampir kebanyakan cukai.

“Tetapi mereka tidak pernah merungut bila duit itu digunakan untuk membangunkan kawasan luar bandar, dan dibelanjakan untuk kebajikan membantu orang miskin termasuk Melayu,” katanya pada majlis makan malam kutipan dana DAP di Bayan Baru, malam tadi.

“Tauke Cina tak pernah merungut cukai yang mereka bayar digunakan untuk bangunkan Felda, usahawan Mara, biasiswa dan sekolah agama.

“Tetapi mereka marah bila duit cukai mereka dicuri oleh pemimpin Umno,” katanya disambut sorakan kira-kira 3,000 hadirin.

Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata itu hanya dongeng Umno dan BN yang berkata mereka perlu kekal berkuasa untuk memastikan hak dan kepentingan Melayu dan Bumiputera terus dilindungi.

“Mereka kata Melayu dan Bumiputera terancam jika BN tumbang. Bolehkah pandangan ini terus diterima?

“Dr Mahathir Mohamad (bekas perdana menteri dan pengerusi BN) pun sekarang sudah bersama Pakatan Harapan,” katanya.

Mohamad berkata beberapa negeri sudah pun berubah kerajaan tanpa berlaku insiden yang tidak diingini.

Katanya, Kelantan, Terengganu, Kedah, Penang, Perak dan Selangor sudah bertukar kerajaan tanpa menimbulkan suasana tidak tenteram.

“Semua penjawat awam, termasuk polis dan tentera akan tetap menjalankan kerja mereka seperti biasa. Hanya Umno yang cemas kerana ada antara mereka yang mungkin masuk penjara. Terpulang kepada mereka untuk jelaskan di mahkamah,” katanya.

PH menyasarkan untuk menawan Putrajaya bagi menyingkirkan BN daripada kuasa pada pilihan raya umum akan datang dan mengambil Kedah, Perak, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Pemimpin pembangkang akan menggunakan negeri yang diterajui PH seperti Pulau Pinang dan Selangor sebagai lambang kejayaan mereka untuk meyakinkan pengundi memberi peluang kepada pembangkang mentadbir kerajaan persekutuan.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata PH boleh menunaikan janjinya untuk menyingkirkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), yang membebankan rakyat.

Beliau berkata di Pulau Pinang, tanpa GST negeri itu masih boleh menjaga kebajikan mereka yang memerlukan dan memberi skim bantuan kebajikan tahunan dalam jumlah besar menerusi kerajaan yang bersih.

Katanya, sejak 2008, negeri itu mencapai surplus bajet tahunan, meningkatkan kebersihan, menarik pelaburan, membina rumah mampu milik, memelihara rizab hutan kekal dan mengurangkan hutang negeri.

– https://www.themalaysianinsight.com

.