CIKGU PA SEKARANG ‘PUASA MULUT’

Selepas digugurkan daripada arus perdana kepimpinan pusat, tidak banyak yang diketahui mengenai status bekas setiausaha agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Tugas terakhir beliau sebelum muktamar di Kota Sarang Semut, Alor Setar akhir April lalu ialah pengarah pilihan raya, suatu jawatan yang penting terutama ketika demam pilihan raya semakin menghampiri.

Apabila barisan kepimpinan baru PAS diumumkan setiausaha agungnya pada 6 Mei lalu, nama Mustafa tidak kedengaran.

Sebaliknya Datuk Takiyuddin Hassan menyatakan tugas pengarah pilihan raya PAS kini disandang Setiausaha Politik Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Mustafa yang pernah menjadi timbalan menteri suatu ketika dulu bagaimanapun enggan memberikan sebarang bayangan.

Sebaliknya beliau mengambil pendekatan untuk ‘berpuasa mulut’.

Diminta memberikan pandangannya dengan perkembangan terbaru PAS, beliau sekadar menjawab melalui mesej pesanan ringkas: “Maaf… untuk masa ini saya puasa… puasa mulut. Hehe.”

Mustafa bukanlah tokoh biasa-biasa dalam PAS. Beliau dilihat antara orang yang rapat dan mendapat kepercayaan penuh Abdul Hadi suatu ketika dulu.

Sementelah kedua-duanya berasal dari Terenganu.

Mustafa bersama PAS sejak 1970-an dan beliau yang mesra dengan panggilan Cikgu Pa itu turut diberi kepercayaan menjadi setiausaha agung antara 2011 hingga 2015.

Jawatan Mustafa dalam PAS bermula sebagai ketua pemuda pada 1975 dan dilantik sebagai bendahari, naib presiden dan pesuruhjaya PAS Terengganu.

Malah, beliau juga turut berada dalam kerajaan campuran semasa PERIKATAN bersama PAS. Perkembangan itu membolehkan beliau diberi amanah sebagai timbalan menteri sains, teknologi dan alam sekitar.

Pernah ada nilai tambah

Penulis politik, Mohd Sayuti Omar, berpendapat pengguguran Mustafa adalah kerana beliau tidak bersetuju dengan kerjasama antara PAS dan Umno yang kini dilihat semakin mesra.

Sayuti berkata, Mustafa membayangkan perkara itu dalam ucapan penggulungannya semasa hari terakhir Muktamar Tahunan PAS ke-63 yang berakhir 1 Mei lalu.

Semasa menyampaikan ucapan penggulungan, Mustafa menyentuh sejarah bagaimana Kelantan – yang dikenali sebagai kubu kuat PAS – pernah kalah kepada BN pada 1978.

Parti itu hanya menang di negeri berkenaan pada pilihan raya umum kelapan pada 1990.

Malah, dalam ucapan penggulungannya, Mustafa turut mengingatkan PAS bahawa parti Islam itu sebelum ini pernah menang dan kalah dalam pilihan raya umum kerana adanya gabungan dengan parti-parti lain.

Berikut merupakan antara ucapan penggulungan Mustafa semasa muktamar PAS 1 Mei lalu:
“Saya nak ambil contoh beberapa pengalaman, contoh di Kelantan, kubu paling kuat kita. Apa yang berlaku di Kelantan memberi petunjuk bahawa kekuatan atau kelemahan kita ada pada tempat lain. Sebab itu, pengalaman penting supaya dapat memahami apa strategi yang boleh dipakai dalam menang dan kalah.

“Kita telah menang di Kelantan sejak 1959, 18 tahun memerintah, akhirnya ditumbangkan pada 1978 selepas diisytiharkan MAGERAN (Majlis Gerakan Negara) di Kelantan.

“Selepas dikeluarkan dari BN dan dalam keadaan rakyat kelam-kabut, berlaku perpecahan dalam PAS akibat krisis yang dinamakan krisis Datuk Nasir yang menyebabkan PAS telah alami krisis dan sebahagian daripada orang PAS keluar PAS dan tubuh parti BERJASA.

“Dan yang penting perlu kita lihat, serpih kita ini, kerjasama dengan lawan kita Umno, BN. BERJASA kerjasama dengan Umno, BN. Kita kurang (undi), dia (BN) tambah (undi) akhirnya mereka dapat kalahkan kita (PAS) pada pilihan raya umum 1978.

“Tapi sebaliknya berlaku pada pilihan raya umum 1990. Apabila berlaku perpecahan dalam Umno, yang serpih Umno keluar tubuh parti baru, bekerjasama dengan PAS iaitu Semangat 46 yang dipimpin Tengku Razaleigh, bekerjasama dengan PAS. (PAS) undi bertambah kerana sokongan parti serpihan (Umno). Ada value added (nilai tambah) pada kekuatan kita.

“Akibatnya, Umno, BN Kalah. Kita menang semula dengan satu kemenangan besar. Satu-satunya negeri yang telah beri zero (kerusi) kepada BN ialah Kelantan pada (pilihan raya umum) 1990. Tak ada negeri lain yang mampu untuk buat demikian.

“Ertinya, kita pernah kalahkan BN dengan mereka tak ada kerusi yang dimenangi. Itu contoh, dan demikianlah seterusnya.

“Maka, pentingnya value added sokongan melalui contoh-contoh yang disebutkan. Ini ialah sokongan dan berkait dengan strategi. Strateginya dalam tahun 1978, Umno bekerjasama dengan serpihan kita (BERJASA), dan dia menang. Tahun 1990, kita (PAS) bekerjasama dengan serpihan Umno dan kita menang.

“Ertinya, krisis dalam satu-satu parti menyebabkan ia jadi lemah dari dulu, tapi tergantung. Apakah senario di hadapan kita sekarang?”

– M’kini

.