CHINA MELABUR, MALAYSIA MELEBUR

PROJEK Landasan Keretapi Pantai Timu (ECRL) dicanang oleh Perdana Menteri Najib Razak sebagai “game changer” untuk pembangunan Malaysia terutamanya di negeri pantai timur.

Ia mempunyai laluan sepanjang 688km bermula dari Gombak sehingga ke Kota Bharu. Mengikut data rasmi daripada pihak kerajaan, projek ini akan menelan belanja sebanyak RM55 bilion dan 85% daripada kos ini akan dibiayai China melalui Exim Bank manakala baki 15% akan dibiayai oleh program sukuk.

Pelaburan daripada China ini dalam erti kata mudah membawa maksud kerajaan Malaysia meminjam duit dengan kerajaan China bagi membiayai projek ini dengan kadar faedah sebanyak 3.25%.

Ia juga berserta syarat 70% daripada kontraktor mestilah daripada syarikat China iaitu China Communications Construction Company Ltd (CCCC) manakala baki 30% akan diisi oleh kontraktor tempatan. Projek ini dijangka siap pada tahun 2024.

ECRL sebagai “game changer”

Najib dan kerajaan Barisan Nasional (BN) mencanang ECRL sebagai “game changer” berdasarkan beberapa perkiraan, antaranya ialah ia akan memendekkan masa perjalanan daripada Kuala Lumpur ke Kota Bharu kepada kurang empat jam berbanding menggunakan kereta atau bas iaitu 8 hingga 12 jam sewaktu musim perayaan.

Janaan pendapatan bagi projek ECRL ini akan menumpukan kepada kargo sebanyak 70% (53 juta kargo setahun) berbanding dengan penumpang yang hanya akan menyumbang sebanyak 30% (5.4 juta penumpang setahun) sahaja.

Bagi mempersiapkan fasiliti ke arah sasaran itu, pelabuhan Kuantan akan ditambah baik dengan mempertingkatkan kapasiti bagi membolehkan menerima kapal kargo jenis 18,000 TEU.

Terdapat juga kerjasama antara kerajaan Malaysia dan China bagi membolehkan 3,600 pelajar Malaysia menjalani latihan di bawah program seliaan beberapa buah universiti tempatan termasuk dua universiti China.

Melalui program ini, mereka yang menamatkan latihan akan terus diserapkan sebagai pekerja ke dalam syarikat MRL, CCCC Ltd atau sub-kontrator bagi kedua-dua syarikat ini.

Kerajaan menjangkakan Grow Domestic Product (GDP) akan meningkat sebanyak 1.5% setahun bagi negeri-negeri pantai timur apabila laluan ECRL ini mula beroperasi.

Asas kritikan terhadap ECRL

Projek ini mendapat kritikan banyak pihak, terutamanya di kalangan pihak pembangkang. Nada yang sama diluahkan ramai pakar ekonomi yang menyuarakan kebimbangan sama mengenai projek ini.

Profesor Jomo KS, (bekas penolong setiausaha agung bagi pembangunan ekonomi PBB) mengkritik keras projek ECRL dengan mempersoalkan data daripada pihak kerajaan yang kononnya projek ini mensasarkan 53 juta kargo setahun.

Menurut beliau, kapasiti kargo diseluruh negara seperti yang dibawa oleh KTM hanyalah sekitar 6 juta kargo setahun.

Beliau juga melahirkan kebimbangan projek ini akan berakhir seperti yang berlaku pada laluan kereta api Kemaman-Kuantan yang telah siap bertahun-tahun lamanya namun amat jarang sekali digunakan.

Profesor Hoo Ke Ping (pakar ekonomi) pula membentangkan persoalan yang menarik apabila beliau memberikan gambaran mengenai industri kapal kargo yang mana lebih 60% daripada pemain industri kargo akan beralih kepada kapal kargo yang mempunyai kapasiti kargo yang lebih besar iaitu daripada 10,000 TEU kepada 18,000 TEU.

Menurutnya, kapal bersaiz gergasi ini lebih gemar untuk memilih perlabuhan yang berkala lebih besar seperti Pelabuhan Tuas di Singapura yang mana mampu menerima 65 juta kargo setahun dan tidak berlabuh di perlabuhan kecil.

Walaupun Pelabuhan Klang diiktiraf sebagai antara perlabuhan terbesar dunia, tetapi Pelabuhan Tuas dikatakan memiliki kelebihan dengan pengurusan operasinya lebih efisyen (mudah berlabuh, unload kargo dan pergerakkan kargo lebih cepat) menyebabkan ia tetap menjadi pelabuhan kapal utama berbanding Pelabuhan Klang.

Jika ada pertambahan kargo di Pelabuhan Klang untuk menggunakan ECRL sebagai laluan alternatif melintasi Semenanjung Malaysia, anggaran 53 juta kargo setahun pastinya mustahil untuk dicapai.

Kos pembinaan ECRL menurut Dr Lim Teck Ghee (bekas ahli Ekonomi Bank Dunia) tidak kos efektif kerana sistem infrastruktur sedia ada masih cukup baik dan memadai.

Beliau juga menambah, projek ECRL bukanlah projek yang akan membuka jalan baru atau merintis perhubungan baru, tetapi hanya menambah kepada jalan perhubungan sedia ada, dan lebih teruk daripada itu, jalan perhubungan sedia ada masih tidak berfungsi sepenuhnya.

Belajar daripada Sri Lanka dan Afrika

Pada tahun 2007, Sri Lanka melalui kerajaan pimpinan Rajapaka memulakan projek pembinaan Pelabuhan Hambantota dengan meminjam 85% daripada kos binaan itu dari China melalui Exim Bank dengan kadar interest rate sebanyak 6.3%.

Projek ini juga dibina oleh syarikat China iaitu China Harbour Engineering Company dengan kerjasama syarikat Sinohydro Corporation.

Mengikut perancangan awal, Sri Lanka berniat untuk menguruskan pelabuhan ini sendiri, tetapi pada pertengahan tahun 2017, Sri Lanka terpaksa memajak Pelabuhan Hambantota kepada China selama 99 tahun.

Pemajakan ini berlaku kerana pulangan daripada operasi pelabuhan ini amat rendah dan ditambah dengan kadar faedah yang tinggi, menyebabkan Sri Lanka sukar untuk membayar bebanan hutang kepada China dan akhirnya memajak dengan jumlah sebanyak £837 juta.

Pada tahun 2006 (sebelum pinjaman daripada China), hutang luar Sri Lanka hanya $10.6 bilion, tetapi selepas sedekat, hutang luar Sri Lanka meningkat sebanyak 140% menjadi $25.3 bilion bersamaan dengan 34% GDP.

Yun Sun (Felo Global Economy & Development, dari The Brookings Institute) menulis satu rencana menarik yang bertajuk “China’s Aid to Africa: Monster or Messiah?” dengan memetik kata-kata daripada seorang penganalisis dari China, “when we provide Africa assistance of RMB 1 billion, we will get service contracts worth USD 1 billion (RMB 6 billion) from Africa.”

Dalam erti kata mudah, apabila China memberikan “bantuan atau pinjaman”, China akan mewajibkan 70% daripada kontraktor mesti daripada syarikat China dan baki akan dibuka kepada kontraktor tempatan yang mana kebanyakan daripada mereka pula akan mempunyai usahasama dengan syarikat China.

Daripada sudut ini, pelaburan luar dari China sebenarnya lebih memenangkan negara China itu sendiri dengan setiap bantuan atau pinjaman akan mewajibkan pelbagai syarat yang mana akan memberikan kelebihan kepada syarikat dan pekerja dari China melebihi negara yang kononnya menerima pelaburan daripada negara itu.

China melabur, kita melebur

Projek ECRL dibiayai oleh China melalui Exim Bank dan pinjaman ini dijamin oleh kerajaan Malaysia. Duit poket kerajaan Malaysia pula dijana oleh rakyat Malaysia melalui kutipan cukai, maka secara tidak langsung beban membayar hutang projek ini (dan banyak lagi projek dari China) sebenarnya berada di atas pundak rakyat Malaysia.

Projek ECRL ini mungkin akan berjaya, mungkin juga tidak. Tetapi apa yang pasti, akhirnya China akan mendapat untung. Itu tiada diragukan.

Bagaimana pula dengan rakyat Malaysia? Mungkin akan berasa celaka membayar beban hutang dan cukai. Bersyukurlah, sekurang-kurangnya Malaysia masih aman.

– https://www.themalaysianinsight.com

.