Chieng Jen wajar ‘disekolahkan’?

SEJARAH bukan setakat mengingati tarikh sahaja. Ia berkait rapat dengan semangat kebangsaan dan kenegaraan.
Apabila Pengerusi DAP Sa­ra­wak, Chong Chieng Jen beberapa hari lalu tiba-tiba mencadangkan agar Sarawak tidak menyam­but Hari Kebangsaan pada setiap 31 Ogos, kita rakyat Malaysia berasa cuak motif kenya­taannya.

Chieng Jen menuduh Sa­ra­wak terpaksa menyambut Ha­ri Kebangsaan di­­sebabkan tekanan oleh Kerajaan Persekutuan ­biar­pun ta­rikh itu bukan hari kemerdekaan buat Bumi Ke­nya­lang.

Ya, selain 31 Ogos (1957), ada dua lagi tarikh penting yang sangat berkait rapat dengan sejarah kebangkitan nasionalisme di negara ini. Iaitu 22 Julai (1963) sebagai tarikh kebebasan daripada pentadbiran British di Sarawak, diikuti 16 September (1963) di­rai­kan sebagai tarikh penubuhan Malaysia.

Sebagai anak merdeka, sewajarnya semua pihak meraikan tarikh keramat 31 Ogos sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan setiap pejuang yang bersusah-payah menghidangkan se­buah kebebasan yang sama-sama dinikmati sekarang ini.

Tidak salah untuk Chieng Jen bersama-sama sehati sejiwa meraikan perayaan yang bersifat nasionalisme ini. Lebih-lebih la­gi dalam keadaan semangat patriotik cintakan negara yang kian terhakis kerana propaganda berburuk sangka serta fitnah melampau. Tidak begitu Chieng Jen?

Chieng Jen dan DAP Sarawak dikatakan sering menumpang populariti dan menagih pujian atas kegigihan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem mentadbir Sarawak. Antaranya tindakan Adenan memansuhkan tol dan perjuangan agresifnya terhadap pembasmian pembalak­an ha­ram. Chieng Jen jugalah mengakibatkan DAP hampir berkubur di Sarawak gara-gara kalah 24 kerusi berbanding 31 kerusi yang ditandingi dalam pilihan raya negeri 7 Mei lalu.

Hasil perbincangan bersa­ma kepemimpinan Sabah dan Sarawak, kerajaan telah pu­tus­kan bahawa akan hanya me­nyam­but satu ta­rikh rasmi kemerdekaan, 31 Ogos.

Ini kerana 16 September itu bukanlah disengajakan. Ia hanyalah berpunca kelewatan pengesahan laporan pungut­an suara daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Mengapa dimahukan satu sahaja tarikh kemerdekaan bagi seluruh Malaysia. Jawapannya – solidariti.

Gabungan Semenanjung, Sa­bah dan Sarawak dipisahkan oleh Laut China Selatan yang membentuk kawasan 330,290 kilometer persegi.

Inilah pusaka tinggalan ne­nek moyang kita yang diwargai kira-kira 30 juta penduduk terdiri daripada puluhan suku, ras, etnik dan kaum.

Seandainyalah semua dapat bersatu di bawah lembayung Malaysia, diyakini rakyat dapat bersama-sama menjengah negara maju atau negara berpendapatan tinggi dalam satu ikatan solidariti yang tidak mungkin terpecah bentengnya.

Sejarah perlukan perbinca­ngan. Banyak perkara yang perlu dijelaskan. Kalau tidak, ramai termasuk Chieng Jen sendiri yang akan bergaduh mengenai perkara yang bukan-bukan.
– Utusan

.