CHEF WAN BUAT LAPORAN POLIS KENYATAAN DISALAH PETIK

Chef terkenal Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan hari ini membuat laporan polis terhadap sebuah laman web yang didakwa memetik dengan salah kenyataannya di media sosial.

Beliau berkata, laporan tersebut dibuat kerana artikel yang disiarkan laman Malaysia Chronicle telah merosakkan reputasinya.

“Baru sahaja membuat laporan polis berkenaan artikel yang memetik (kenyataan) saya dengan salah dan menjejaskan reputasi saya, dalam artikel yang ditulis di Malaysia Chronicle.

“Perkara ini kini di tangan undang-undang. Semoga keadilan dapat ditegakkan,” katanya di instagram.

Bersama-sama kenyataan itu, Chef Wan memuatnaik gambarnya bersama salinan laporan di depan Balai Polis Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Dalam beberapa posting sebelumnya, beliau turut memuatnaik tangkap layar (screen shot) artikel yang dimaksudkan itu.

“Mereka melakukan apa sahaja untuk menarik perhatian (kerana) mengetahui orang ramai sukakannya.

“Kita yang berkata benar dan menasihatkan yang baik-baik pula disalahertikan mahupun difitnah,” katanya lagi pada posting tersebut.

Artikel tersebut memetik satu lagi postingnya yang dibuat 25 Disember lalu, menceritakan pengalamannya menolak permintaan parti politik kerajaan dan pembangkang yang memintanya berkempen untuk mereka, kerana “tidak mahu dipergunakan” mana-mana pihak.

Menyifatkan politik sebagai “permainan kotor”, beliau antara lain berkata seseorang yang disanjung golongan tertentu boleh dibenci oleh golongan sama sekelip mata dengan menjadikan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai contoh.

Kenyataan itu dimuatnaik bersama gambar baju tertera tulisan ‘all I want for Christmas is a new prime minister‘ (permintaan saya pada Krismas kali ini adalah perdana menteri baru), yang disifatkannya sebagai melucukan.

Namun, menerusi tangkap layar yang dikongsikannya, artikel yang menjadi pertikaian itu membayangkan Chef Wan sendiri yang mahukan perdana menteri baru dan marah kepada Datuk Seri Najib Razak yang menyerang Mahathir.

Laman Malaysia Chronicle tidak dapat diakses di Malaysia kerana disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

– M’kini

.