CHANG YEOW BERPELEKAT MULUT DI SIDANG AKHBAR

Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow hari ini membuat gimik dengan mengadakan sidang akhbar ‘senyap’ selepas menerima notis tuntutan daripada Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Beliau hadir dengan bibirnya ditampal pita pelekat bertanda “X” yang menutup mulutnya bagi menggambarkan keadaan dirinya.

Beliau diapit oleh setiausaha Gerakan negeri Oh Tong Keong dan Pemangku Ketua Pemuda negeri Jason Loo.

Teng duduk selama beberapa minit tanpa mengeluarkan sepatah kata pun walaupun berulang-kali disoal oleh wartawan.

Beliau kemudiannya menanggalkan pelekat itu dan berkata “Hari ini saya yang diugut saman. Esok adalah masa untuk kamu semua (pengamal media) dan disusuli dengan rakyat Pulau Pinang yang mempersoal kepimpinan kerajaan negeri pimpinan DAP.

“Saya akan terus dedahkan maklumat mengenai kepincangan kerajaan DAP Pulau Pinang dalam isu Pulau Jerejak dan urusan lain dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Teng menerima surat tuntutan guaman bertarikh 25 November berhubung kenyataannya mengenai projek di Pulau Jerejak, di mana beliau mendakwa Lim menolak “jaminan keuntungan” dalam projek tersebut.

Katanya, beliau tidak akan berdiam diri, biarpun berhadapan tindakan undang-undang daripada kerajaan negeri.

Beliau turut meminta pihak lain untuk terus mempersoal kepincangan kepimpinan kerajaan negeri.

“Saya berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terus menyuarakan pelbagai isu berkaitan kepentingan rakyat dan tidak perlu tergugat dengan tindakan undang-undang yang dihadapi saya,” katanya.

MKINI

.