CERMIN DIRI DULU, KATA SALAHUDDIN PADA KU NAN

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Salahuddin Ayub, menasihati Datuk Seri Tengku Adnan Mansor bercermin diri sendiri selepas menjadikan sentimen perkauman untuk mewajarkan cadangannya menjadikan Pulau Pinang sebahagian Wilayah Persekutuan.

Menurut Salahuddin, selain berbahaya dan menggambarkan pemikiran penjajah Tengku Adnan perlu menyedari ramai rakyat masih hidup terhimpit di Kuala Lumpur dan Labuan.

“Isu-isu setinggan, perumahan kos rendah dan sederhana masih menjadi public outcry yang masih lagi menjadi perjuangan yang belum selesai.

Tengku Adnan sepatutnya malu dan bercermin diri sendiri tentang nasib rakyat yang masih terhimpit kehidupan mereka di Kuala Lumpur dan Labuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 1 Februari lalu Tengku Adnan menyatakan hasratnya untuk menjadikan Pulau Pinang, Langkawi dan sebahagian Melaka sebagai Wilayah Persekutuan.

Alasan setiausaha agung Umno itu, ia dibuat demi keprihatinan kerajaan kepada nasib orang Melayu di Pulau Pinang.

Ketika ini Wilayah Persekutuan terdiri daripada kawasan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Tak pernah kotor

Pulau Pinang kini ditadbir kerajaan negeri yang terbentuk hasil kerjasama DAP, PKR dan AMANAH yang membentuk Pakatan Harapan (HARAPAN).

Pagi tadi anggota parlimen Segambut, Lim Lip Eng, menyatakan jika Tengku Adnan mahu membantu Melayu, ia boleh dilakukan pada Kelantan dan Terengganu yang didiami majoriti masyarakat Melayu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, sudah menyatakan bantahan mereka terhadap cadangan Tengku Adnan itu pada 2 Februari lalu.

Salahuddin berkata kenyataan Tengku Adnan itu berunsur hasutan sangat berbahaya kepada semangat persekutuan yang sepatutnya dipertahankan dan dihormati.

Katanya, Malaysia sangat malang memiliki seorang menteri seperti Tengku Adnan yang memiliki pemikiran kuno dan langsung tidak mencerminkan sikap progresif untuk masa depan Malaysia cemerlang.
Tindakan anggota parlimen Putrajaya itu menggunakan sentimen perkauman Melayu juga, kata Salahuddin, sangat berbahaya dan mengancam keselamatan negara.

Ia juga, katanya, bertentangan dengan harapan baru yang didambakan oleh rakyat yang berbilang kaum di negara ini.

“Kaki dan tangan Tengku Adnan tidak pernah kotor untuk memperjuangkan isu-isu penderitaan rakyat yang semakin terhimpit khususnya di Kuala Lumpur ketika beliau adalah menteri berkaitan,” katanya.

– M’kini

.