CERITA PENDEK DARI JOHOR: ‘APALAH SANGAT 70 KERUSI, SYURGA PUN BAGAIKAN MILIK MEREKA JUGA’

Khamis lalu saya berada seharian di Johor atas sesuatu urusan di negeri itu. Kebetulan sudah berada di sana, saya mengambil kesempatan meninjau-ninjau suasana politik di negeri kelahiran UMNO itu dan bertemu beberapa rakan dan kenalan.

Antara yang sempat saya temui ialah bekas pemimpin UMNO dan Pas, juga pemimpin yang masih aktif PKR, Amanah dan PPBM Johor. Saya juga mengambil kesempatan berbual-bual dengan orang biasa yang kebetulan ditemui di beberapa kedai makan.

Secara umumnya, walaupun terlihat tenang di permukaan, kekalahan UMNO dan BN di Johor tampak tidak mustahil boleh berlaku dalam pilihanraya akan datang. Kemarahan dan kekecewaan mereka kepada Najib Razak bagaikan lava gunung berapi yang hanya menunggu masa saja untuk meletusnya.

Banyak sebab yang menjurus ke arah itu, tetapi saya akan mengulasnya dalam posting yang lain sedikit masa lagi.

Yang paling menarik dalam kunjungan ke Johor kali ini ialah bila saya berjumpa dengan seorang bekas pemimpin Pas. Beliau kini sudah menyertai Amanah kerana melihat perjuangan Pas tidak sama lagi seperti dahulu.

Mengenai kerjasama parti-parti pembangkang dengan Pas, beliau melihat usaha ke arah itu terlalu sukar untuk dijadikan kenyataan.

Katanya, alasan Pas agar 70 kerusi mereka jangan dikacau adalah petanda jelas parti itu tidak ingin bekerjasama.

Beliau menasihatkan PPBM khususnya, yang masih berusaha mencari jalan persefahaman dengan Pas, agar jangan membuang terlalu banyak masa dan tenaga bagi tujuan itu, sebaliknya harus menyelesaikan terlebih dahulu soal pembahagian kerusi bersama PKR, DAP dan Amanah.

Jangan nanti, tambah beliau, PPBM terjebak dalam keadaan “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”.

Pas ni boleh juga dikata parti yang tamak, kalau syurga pun mereka boleh dakwa milik mereka, maka jangan hairan jika 70 kerusi itu, walaupun satu, mereka tidak mahu dilepaskan kepada sesiapa, katanya lagi.

Hakikatnya, PPBM dan Pakatan Harapan jangan terlalu berharap dan membuang banyak masa dengan Pas, tetapi bersedialah mulai sekarang dengan pelan tiga penjuru untuk mengalahkan UMNO dan BN.

–¬†http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.