CERITA LELAKI BANYAK HUTANG HANTAR ORANG TUNAI HAJI KE MEKAH

Ini adalah cerita yang pernah berlaku di zaman dahulukala. Ia tdak ada kena-mengena dengan sesiapa atau mana-mana pihak, sama ada yang masih hidup, sedang mati atau sudah meninggal dunia.
Di sebuah pekan, tinggal seorang lelaki yang tidak menentu dan tidak berapa ketahuan kehidupannya. Beliau bekerja di sebuah kasino dan dalam masa yang sama mempunyai hobi berjudi, minum arak dan berhutang di sana-sana untuk membiayai kehidupannya.
Hidupnya kelihatan agak kaya dan bergaya. Kereta mewah dan rumahnya nampak besar-besar belaka. Tetapi, beliau bukanlah berasal daripada keturunan yang kaya-raya dan mempunyai banyak harta.
Kepada rakan-rakan rapatnya, beliau ada bercerita mengenai hutangnya yang banyak dengan ceti dan harta-harta miliknya dijadikan cagaran untuk mendapatkan wang bagi membiayai gaya hidupnya.
Jumlah bayaran bunga hutang-hutangnya kepada ceti itu tentulah amat tinggi dan boleh membuatkan orang-orang yang mendengarnya geleng kepala. Tetapi, beliau selalu senyum dan relaks saja dalam hidupnya.
Tiba-tiba, lelaki itu membuat keputusan untuk menghantar beberapa adik-beradiknya menunaikan haji ke Mekah.
Hebohlah orang-orang di pekan itu bercerita mengenai kemurahan hati lelaki yang bekerja di kasino dan suka berjudi, minum arak dan banyak berhutang itu.
Entah bagaimana, ada seorang lelaki tua yang dikenali ramai dan dihormati orang di pekan itu yang selama ini mendiamkan diri, tiba-tiba bersuara dengan mengatakan haji mereka itu barangkali tidak berapa mabrur berbanding haji orang lain yang pergi ke Mekah dengan wang sendiri yang sahih sumbernya.

Salahkah teguran lelaki tua itu?

– http://shahbudindotcom.blogspot.com/

.