CERITA DONGENG DEDAK MURAHAN

Di alam maya ketika ini bertebaran cerita mengenai Tun Mahathir Mohamad kononnya mahu berdamai dengan Najib Razak. Daripada blog, FB dan grup Whatsapp, cerita berkenaan terus berpanjangan disebarkan tanpa hentinya.

Dalam cerita itu, Tun Mahathir dikisahkan memilih untuk berdamai kerana telah menemui jalan buntu untuk menyingkirkan Perdana Menteri, selain timbulnya beberapa isu perpecahan dan berebut jawatan sesama sendiri dalam PPBM.

Dalam pelan damai itu dikatakan Tun Mahathir bersetuju agar Najib terus kekal sebagai Perdana Menteri, tetapi dengan syarat hendaklah melepaskan jawatan Menteri Kewangan yang disandangnya sekarang.

Untuk menyedapkan lagi cerita, Tun Mahathir diberitakan menetapkan syarat kepada Najib agar anaknya, Mukhriz dilantik sebagai Menteri Kewangan melalui lantikan sebagai Senator terlebih dahulu.

Hahaha….memang boleh ketawa dibuatnya….

Siapa pun yang waras pemikirannya, tidak makan dedak atau kalau pun ada menerima dedak, gred yang diterima adalah berkualiti tinggi, mereka pasti ketawa besar dengan cerita damai antara Tun Mahathir dengan Najib itu.

Cerita itu tidak lebih kisah dongeng yang diimaginasikan ketika sedang menunggu dedak bulanan jatuh ke dalam poket, itu pun sebenarnya hanyalah dedak bermutu rendah atau gred C sahaja. Penerima dedak gred A tidak mungkin membuat cerita khayalan seperti itu, apatah lagi mereka yang mahu dikenali sebagai “orang perjuangan”.

Membuat cerita dongeng seperti itu, bukan saja tidak membantu menguatkan lagi Najib, malah tidak juga membuatkan Tun Mahathir dan PPBM semakin lemah. Ia boleh dijadikan sekadar hiburan petang semata-mata.

Pertama, Tun Mahathir bukanlah jenis manusia yang boleh disuapkan dengan dedak oleh sesiapa pun. Rasa tanggungjawab dan sayangnya kepada negara begitu tinggi, melebihi rasa sayang kepada karier dan masa depan politik anaknya sendiri

Jika Tun Mahathir begitu mementingkan perjalanan karier Mukhriz, adalah lebih baik jika beliau kekal berbaik dan menyokong apa saja yang dilakukan Najib sejak dulu daripada berkelahi dengannya.

Kedua, Tun Mahathir kini sudah ada parti baru, PPBM dan sedang menjalin kerjasama yang erat dengan Pakatan Harapan menjelang PRU 14 akan datang. Malah beliau juga sudah berbaik-baik dan bersalaman dengan Anwar Ibrahim. Keahlian tidak rasmi PPBM juga sudah mencecah ratusan ribu orang.

Ini meletakkan perjuangan beliau sekarang ini sedang berada di landasan kemenangan dan semakin hampir untuk membuatkan Najib tersingkir daripada jawatannya. Tarikh PRU 14 adalah sesuatu yang amat menakutkan buat Najib.

Jadi, di mana logiknya Tun Mahathir mahu berdamai?

Ketiga, Tun Mahathir turut dikenali sebagai seorang yang sentiasa berpegang kepada prinsip apa yang diperjuangkannya dan tidak pernah mengalah ketika di pertengahan jalan.

Dalam kes Najib, sasaran Tun Mahathir tidak pernah berubah. Jika diumpamakan seperti peluru berpandu, Tun Mahathir sebenarnya sudah “mengunci sasaran” yang hendak ditembaknya. Ke mana pun Najib lari, berlindung atau menyelinap, sasaran yang hendak ditembaknya itu tidak pernah berubah. Malah, sesiapa yang melindungi Najib, termasuk UMNO sekali pun, bagi Tun Mahathir, ia perlu “dimusnahkan” sekali.

Berdamai atau mengalah, lebih-lebih lagi kepada Najib yang banyak kali digelarnya sebagai “pencuri terbesar wang negara”, boleh dikata amat mustahil sekali. Bukan Tun Mahathir orangnya yang boleh berbuat demikian.

Dalam cerita yang diimaginasikan itu, disebut juga dua nama “tauke Cina” yang kononnya selama ini berperanan sebagai “funder” dalam gerakan untuk menjatuhkan Najib bersama-sama dengan Tun Mahathir.

Lanjutan daripadanya, difahamkan juga satu laporan polis akan dibuat esok oleh seorang pemimpin Pemuda UMNO agar kedua-dua “tauke Cina” itu dapat disiasat oleh pihak berkuasa.

Sekali lagi, ini juga adalah cerita dedak gred C sebenarnya. Satu orang membuat cerita dongeng daripada imaginasi sendiri dan kemudian satu orang lain pula membuat laporan polis untuk menunjukkan ia seolah-olah kisah benar.

Motifnya tidak lain ialah dedak, sama ada mahukan tambahan dedak atau mengharapkan gred dedak akan datang dinaikkan kepada gred A atau B.

–¬†http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.