CERITA ADUN PKR LOMPAT PARTI UNTUK TUTUP ISU ADAM

KUALA LUMPUR – Dakwaan empat Adun PKR akan keluar parti bagi menubuhkan kerajaan campuran baharu di Selangor adalah strategi Menteri Besar Selangor untuk menutup isu pemecatan Ketua AMK Ampang Datuk Adam Rosly Abdullah.

Ketua Bahagian Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mendakwa Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bertindak demikian setelah kepimpinan tertinggi PKR ingin memecat Adam Rosly daripada jawatan politiknya susulan beliau disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kekayaan ‘luar biasanya’.

Jamal berkata beliau menerima makluman Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli membawa usul untuk memecat atau menggantung Adam Rosly daripada AMK Ampang.

“Tetapi Azmin Ali terlebih dahulu memainkan isu bahawa ada empat orang wakil rakyat dari Selangor akan melompat parti yang mana kerajaan negeri Selangor akan kehilangan kerajaan apabila Pas memutuskan hubungan dengan PKR.
“Jadi apabila Azmin membawa perkara tersebut, maka senyaplah agenda untuk memecat saudara Adam atau menggantungnya kerana menghadapi pertuduhan oleh SPRM,” kata Jamal, yang juga Pengerusi Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia, kepada pemberita di lobi Mahkamah Ampang, di sini hari ini.

Jamal dan sembilan pengikutnya hadir di Mahkamah Ampang bagi prosiding sebutan semula kes yang dihadapi mereka, iaitu menggunakan kekerasan dalam satu kejadian di Ampang Point, November lalu.

Sehubungan itu Jamal menasihatkan Umno Selangor agar tidak mempercayai dakwaan lompat parti itu kerana ia tidak benar dan hanyalah strategi pembangkang yang cuba membuat Umno berasa selesa dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Ini sebenarnya sengaja direka oleh Azmin nak bagi orang Umno, orang BN ‘syok’ supaya mereka ni lalai, alpa daripada kerja, tanggungjawab yang sepatutnya untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Saya nak ingatkan rakan-rakan daripada BN, Umno jangan termakan dengan perkara ini,” katanya.

– Bernama

.