CERIA DI BALIK TEGANG, ADA SOALAN CINTA NAJIB-ROSMAH

Di sebalik insiden kekasaran yang mencemari dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) malam tadi, terselit juga babak-babak menceriakan.

Pengacara majlis Rosyam Nor misalnya sempat mengusik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkaitan cintanya kepada isteri Rosmah Mansor.

Selitan itu berlaku sebelum sesi soal jawab dibuka untuk mendengar pandangan dan menjawab soalan hadirin.

“Saya nak tanya soalan, selit sikit,” katanya sebelum mengusik Najib.

“Kat mana Datuk Seri suka pada Datin Seri masa dulu? Kat mana itu? Macam mana boleh jatuh cinta?” soalnya membuatkan suasana dewan ceria.

Najib juga kelihatan tersipu-sipu mendengar soalan itu tetapi tetap menenangkan diri.

Rosmah turut hadir dalam acara itu dan duduk di bahagian depan sekali. Beliau juga kelihatan tersenyum.

“Tak tahulah. Dia ada juga dia punya daya tarikannya,” kata Najib yang disambut gelak ‘nakal’ Rosyam dan orang ramai.

Tepuk bahu, ketawa

Najib kemudian menepuk bahu Rosyam dan turut ketawa.

Majlis di Seri Perdana – kediaman rasmi perdana menteri di Putrajaya – itu kemudian diteruskan dengan soalan berkaitan industri hiburan.

Sesi malam tadi dianjurkan khusus untuk penggiat seni tanah air.

Dalam insiden malam tadi, pengarah filem David Teo dikasari di depan Najib semasa sesi dialog TN50 berkaitan industri seni di kediaman rasmi perdana menteri di Putrajaya.
Ia bermula apabila Teo mempertikaikan pengendalian Rosyam yang didakwa tidak memberi peluang sama rata kepada hadirin untuk memberi pandangan.

Tidak puas hati dengan tindakan itu yang didakwa “tidak beradab”, rakan artisnya Sulaiman Yassin atau lebih dikenali sebagai Mat Over melulu ke pentas dan cuba menamparnya.

Berlaku pergelutan seketika sebelum dileraikan. Najib bagaimanapun tenang ketika kejadian.

– M’kini

.