CEPAT ATAU LAMBAT TARIKH PILIHANRAYA, KEPUTUSAN TIDAK BANYAK BERBEZA

Beberapa bulan sebelum ini, berikutan Najib Razak dilihat tidak lagi tergugat kedudukannya kerana semua musuh-musuhnya sudah dikeluarkan daripada UMNO, dibayangkan beliau akan mengadakan pilihanraya umum secara mengejut untuk memastikan pegangannya terhadap kuasa terus berlanjutan.

Jangkaannya ialah beliau dikhabar-anginkan akan memanggil pilihanraya mengejut atau “snap election” pada Mac atau April 2017.

Bagaimanapun, apabila timbul isu saman Jabatan Kehakiman AS berkaitan dana 1MDB yang dilencongkan, isu pilihanraya mengejut itu senyap daripada diperkatakan.

Wujudnya saman itu dilihat telah memberi kesan yang besar kepada “mood” pengundi, khususnya di bandar, kalangan orang muda dan mereka yang ada telefon pintar dalam genggaman. Maka, diberitakan tidak mungkin Najib berani mengawalkan tarikh pilihanraya.

Sehari dua ini, setelah Tun Mahathir Mohamad bersalaman dengan Anwar Ibrahim dan kemudian diikuti dengan lulusnya pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau PPBM, sekali lagi timbul kemungkinan Najib akan mengadakan pilihanraya secara mengejut.

Tarikh yang disebut tetap tidak berubah, iaitu sebelum April 2017. Najib dikatakan tidak mungkin menangguhkan lagi tarikh pilihanraya kerana ia akan memberi ruang kepada PPBM untuk bertapak dengan lebih kukuh.

Najib kini dikatakan terdesak untuk memanggil pilihanraya sebelum PPBM dapat menyusun struktur partinya di peringkat negeri dan bahagian-bahagian. Selain itu, parti-parti pembangkang masih berpecah, belum ada kata putus dari segi pembahagian kerusi dan kesepakatan satu lawan satu juga belum muktamad. Ini menjadikan suatu kelebihan bagi BN jika diadakan pilihanraya secara tiba-tiba.

Lagi Najib menangguhkan tarikh pilihanraya atau menunggunya sehingga Mei 2018 iaitu tarikh akhir yang dibenarkan, dikatakan lebih banyak isu bakal timbul dan menambah-sukarkan lagi peluang BN. Saman Jabatan Kehakiman AS mungkin sudah ada keputusannya dan beralih kepada tindakan jenayah pula, manakala beberapa negara lain yang sedang menyiasat 1MDB juga tidak mustahil ada tindakannya masing-masing. Tentu saja, ia merupakan “detik maut” bagi BN ketika itu nanti.

Oleh itu, melewatkan pilihanraya dikatakan bukanlah pilihan yang baik bagi Najib. Kalau mahu menang dan terus berkuasa, kena dipercepatkan, demikian antara ungkapan pakar-pakar politik di kedai-kedai kopi dan coffee house hotel di seluruh negara.

Benarkah begitu?

PRU 14 sebenarnya adalah menentukan pilihan berkaitan Najib. Semua isu yang terbentang dalam negara adalah berkaitan dengannya. Tidak ada isu yang terlepas kaitannya dengan Najib. 1MDB, derma ribu-ribu juta, Jho Low, Riza Aziz, Rosmah, penyelewengan, penyonglapan, rasuah, pembaziran, kemewahan, hutang, OSA, Akta MKN dan segala macam lainnya adalah segala-galanya berkaitan dengan Najib.

Belum pernah mana-mana Perdana Menteri sebelum ini menghadapi sebegini sarat isu membeliti dirinya dalam tempoh sesingkat cuma tujuh tahun memegang kuasa. Dengan itu, Najib boleh ditafsir dengan bermacam-macam kelemahan berkaitan diri dan kepimpinannya.

Sukar untuk dipastikan dengan mengadakan pilihanraya lebih awal mampu menyelamatkan Najib. Kemarahan dan rasa menyampah rakyat boleh dianggap merata dan dapat didengar di mana-mana. Tidak pernah berlaku sehingga restoran mamak sanggup mengalih siaran berita televisyen yang menyiarkan berita mengenai Najib semata-mata kerana tidak mahu pelanggan terganggu selera makannya.

Pengundi bukan Melayu, bandar, separa bandar dan golongan muda boleh dikatakan konsisten menolak Najib dan tidak mahu lagi BN terus berkuasa. Adanya Tun Mahathir bersama barisan pembangkang harus diakui suatu kelebihan kepada mereka.

Apatah lagi dengan Tun Mahathir sudah berbaik dan bersalaman dengan Anwar sekarang ini, momentum itu menjadi semakin nyata. Andainya Najib mengadakan pilihanraya mengejut, bahang terjalinnya perdamaian Tun Mahathir – Anwar yang masih terasa pasti akan melonjakkan lagi semangat ke arah perubahan itu.

Pengundi Melayu di kampung dan luar bandar mungkin turut melihatnya sebagai detik penting untuk merealisasikan perubahan. Jika dengan gandingan Tun Mahathir – Anwar ini, perubahan tidak juga dilakukan, bermakna ia lebih mustahil pada masa depan. Sama seperti pengundi bandar, pengundi luar bandar juga sebenarnya teruja dengan ungkapan “ini kalilah!”

Orang kampung dan Melayu luar bandar bukan tidak faham tentang rasuah, songlap duit, makan duit kerajaan dan lain-lainnya, tetapi ramai yang sukar untuk meninggalkan UMNO. UMNO sudah sebati dengan mereka. Namun, dengan kegigihan Tun Mahathir memberi penjelasan bahawa UMNO kini sudah menjadi parti Najib, sambil bukti dan perlakuan mengenai perkara itu semakin terang di depan mata, semakin ramai yang dapat menerima kebenaran itu.

Kelebihan kepada BN, kiranya pilihanraya diawalkan hanyalah tiada jaminan kesepatan dapat dicapai di antara parti-parti pembangkang. Namun, jika masing-masing lebih mengutamakan untuk melihat kejatuhan Najib melalui kekalahan BN, tidak mustahil kesepakatan dan tolak ansur dari segi pengagihan kerusi dapat dicapai dalam sekelip mata.

Melewatkan pula, tentu saja memberi banyak kelebihan kepada parti-parti pembangkang. Mereka ada banyak masa untuk merundingkan pembahagian kerusi dan menentukan hanya satu lawan satu yang berlaku.

Melewatkan sehingga Mei 2018 juga mungkin menyaksikan Anwar sudah dibebaskan dari penjara. Walaupun dihukum penjara selama lima tahun, biasanya atas sebab kelakuan baik, hukuman hanya berjalan tidak sampai tiga tahun.

Walaupun jika dibebaskan, Anwar masih terikat kepada peraturan tidak boleh bertanding selama lima tahun, tetapi keberadannya di luar dan bebas berceramah bersama Tun Mahathir boleh saja membuatkan Najib dan Zahid Hamidi sesak nafas dibuatnya. Bayangkanlah betapa gegak gempitanya jika Tun Mahathir berada sepentas dengan Anwar membelasah Najib dalam kempen pilihanraya.

Dengan itu, kelebihan untuk menumbangkan BN adalah lebih terbentang luas kiranya pilihanraya diadakan pada 2018. Namun demikian, mengawalkan juga tidak memberi jaminan wujudnya keselesaan. Mungkin pada Mac atau April 2017 Anwar masih dalam penjara, tetapi surat dan perutusannya pasti bebas menemui pengundi. Bermakna, gandingannya dengan Tun Mahathir tetap juga wujud, tidak kira bila tarikh pilihanraya diadakan.

Isu PRU 14 bukan cepat atau lambat. Isunya ialah Najib dan segala hal berkaitan dirinya. Selagi Najib ada, lebih-lebih lagi dengan wujudnya PPBM bergandingan bersama parti-parti pembangkang lain, kemungkinan BN kalah lebih terbuka berbanding mampu mengekalkan kuasanya.

Malah, jika kebarangkalian Najib menawarkan pengunduran selepas pilihanraya juga tidak mungkin mampu memberi kelebihan kepada BN kerana hanya kekalahan sebaik-baik hukuman serta pengajaran kepadanya.

http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.