CENDEKIAWAN ISLAM KONTROVERSI KASSIM AHMAD KOMA

CENDEKIAWAN Islam dan juga penulis buku kontroversi Kassim Ahmad, 84, kini berada dalam keadaan koma  , kata anaknya Ahmad Shauqi.

Shauqi berkata bapanya dimasukkan ke Hospital Besar Kulim sejak September lalu kerana mengalami masalah paru-paru.

“Dia kira-kira jam 3 pagi tadi. Saya ada bersamanya dan doktor berkata peluangnya tidak begitu baik.

“Ia berlaku tiba-tiba dan kami berdoa untuknya. Saya tak tahu apa yang berlaku kerana malam tadi dia masih okay ketika saya masih ada bersamanya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kassim mengharungi cabaran selama tiga tahun berdepan tindakan mahkamah oleh pihak berkuasa agama atas dakwaan menghina Islam dan ingkar fatwa yang dikeluarkan oleh Wilayah Persekutuan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu dalam sebuah seminar pada Februari 2014.

Kassim ditangkap di rumahnya di Kulim, Kedah pada Mac 2014. Dia dibawa ke Kuala Lumpur dan didakwa atas dua tuduhan itu, yang membawa hukuman maksimum denda RM3,000 atau maksimum penjara dua tahun, atau kedua-duanya.

Kassim bagaimanapun memfailkan semakan kehakiman untuk membatalkan pendakwaan terhadapnya.

Pada Disember 2015, Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) termasuk menahan Kassim di luar kawasan bidang kuasa dengan waran tangkap yang cacat, menahannya lebih 24 jam tanpa akses kepada peguam dan pendakwaan itu salah di sisi undang-undang. Keputusan mahkamah itu membolehkannya mencabar pendakwaan oleh Jawi.

Jawi merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu. Mahkamah Persekutuan pada Mac lalu mengetepikan permohonan Jawi untuk kebenaran membuat rayuan.

Mahkamah malah mengarah pemohon membayar kos RM20,000 kepada Kassim.

Pada Ogos lepas, Mahkamah Tinggi Syariah melepas dan membebaskannya daripada dua tuduhan tersebut.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.