‘CAYALAH ZAHID HAMIDI…’ (UCAPAN UNTUK SEMENTARA WAKTU BUAT TPM)

PUTRAJAYA, 21 Jan -- Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri Keselamatan Awam China, Meng Hongwei di Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini. --fotoBERNAMA (2015) HAKCIPTA TERPELIHARA

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan mengkaji semula keputusan pihak polis membatalkan debat antara Tun Mahathir Mohamad dengan  Nazri Aziz sebelum memutuskan sama ada acara itu perlu diberi lampu hijau atau sebaliknya.
“Saya akan melihat semula alasan-alasan pembatalan yang dikemukakan oleh pihak Ketua Polis Selangor dan sebelum itu (oleh) Pemangku Ketua Polis Perak.

“Jika kita rasa perbahasan perlu diteruskan, kita akan meminta pihak polis supaya memberi permit,” katanya lagi.

Bagaimanapun, kata Zahid Hamidi,  beliau perlu berunding dengan pihak polis kerana mereka mungkin tidak mendedahkan sebab sebenar mengapa pembatalan itu dilakukan.

“Saya perlu menghormati keputusan dan cadangan mereka,” katanya.

Blog ini semalam ada meminta Zahid Hamidi menggunakan kuasanya sebagai Menteri Dalam Negeri terhadap keputusan pihak polis itu berikutan pelbagai pihak dilihat mahu debat itu menjadi kenyataan, selain ramai yang menganggap tindakan pihak polis itu bercanggah dengan Akta Perhimpunan Aman.

Keperluan untuk Zahid mengkaji  semula keputusan polis juga diperkuatkan lagi dengan pendedahan Nazri Aziz sendiri bahawa Najib Razak bersetuju dengan debat tersebut, malah mengucapkan terima kasih kepadanya kerana sudi berdebat dengan Tun Mahathir.

Terbaru, Suhakam turut melihat tidak ada sebab mengapa perdebatan itu harus dibatalkan dengan menggunakan kuasa polis kerana Akta Perhimpunan Aman sudah cukup menyatakan tiada halangan mengenainya.

Zahid tentunya akan diberi pujian jika dapat mengkaji semula keputusan pihak polis dan seterusnya membenarkan debat yang dinanti-nantikan itu menjadi kenyataan.

Cumanya, hari ini sudah 4 April dan majlis debat yang sepatutnya diadakan ialah pada 7 April.

Hanya ada 3 hari saja lagi untuk Zahid membuat keputusan yang boleh membuatkan rakyat Malaysia bergembira di sebalik beban cukai GST yang baru menyambut ulangtahun keduanya dan kos sara hidup yang kian mencekik kehidupan seharian mereka.

Diharapkan, setidak-tidaknya esok atau lusa akan terdengarlah berita yang menggembirakan itu daripada mulut Zahid sendiri. Jika lebih lambat keputusan dibuat, ia mungkin menimbulkan masalah pula kepada pihak penganjur membuat persiapan yang sepatutnya.

Dan janganlah juga sementara Zahid kata nak mengkaji semula keputusan polis itu, tetapi sehingga 7 April nanti pun beliau terus senyap begitu saja tanpa keputusan apa-apa.

Kalau itu berlaku, kecewa lagilah rakyat jelata dibuatnya.

Bagaimanapun, untuk sementara waktu, khususnya atas kesediaan beliau sebagai Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab kepada pihak polis mengkaji semula keputusan pihak polis itu, bolehlah kita beri ucapan kepadanya, “Cayalah Zahid Hamidi…

Tetapi, diulang sekali lagi, ucapan untuk Zahid itu hanya untuk sementara waktu saja, kita tengoklah dulu apa yang berlaku seterusnya dalam sehari dua ini.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my