Cara Neymar habiskan wang

TIDAK ramai yang tahu bagaimana bintang bola sepak Brazil dan Barcelona, Neymar membelanjakan wang pendapatannya termasuk daripada penajaan Police Eyewear dan Nike yang kesemuanya berjumlah AS$50 juta (RM208j) setahun.
Malah jika mahu dibandingkan dengan rakan-rakan bola sepaknya dan ahli keluarga lain pula, sejauh mana kayanya pemain berbakat yang berasal dari Mogi das Cruzes, Brazil ini?

Sejak menjadi salah seorang daripada pemain terbaik di dunia, dia mempunyai banyak pilihan untuk memiliki kereta mewah. Sebagai antara pemain Brazil yang memperoleh pendapatan tinggi di Eropah, bukan sahaja koleksi kereta dimilikinya malah dia juga mampu memiliki beberapa kapal layar mewah.

Antara kereta yang ada dalam koleksinya ialah Audi R8 dan Porsche Panamera serta dilaporkan memiliki bot laju.

Gaya hidup mewahnya itu membuatkan dia dikritik dan Neymar menepis kritikan itu dengan bertanya kepada wartawan: “Kenapa saya tidak boleh berseronok dan berparti?”

Tetapi kehidupan sosialnya di luar padang Neymar, 24, tetap mendapat kritikan terutama dalam menganjurkan parti kolam dan suka berkawan de­ngan artis terkenal seperti Justin Bieber dan Jamie Foxx. Mulutnya yang celupar juga kerap menyakitkan hati banyak pihak dan peminat bola sepak Brazil.

Perangai liarnya itu sentiasa menjadi bualan. Namun Neymar menjelaskan itu adalah hak peribadinya dan ia bukan satu isu yang perlu dijadikan perdebatan umum.

“Anda perlu lihat apa yang saya lakukan di dalam padang sahaja. Selebihnya ia adalah hak peribadi saya. Apabila di luar padang, ia menjadi kehidupan peribadi saya. Nilailah saya dalam padang dan bukannya di luar padang.

“Saya tiada masalah memberi komen mengenai layangan kad atau dibuang padang. Tetapi ja­ngan sentuh kehidupan peribadi saya. Saya baharu berusia 24 tahun. Bayangkan pada usia itu, saya layak berbelanja apa yang saya mahu dan memiliki apa yang saya tidak pernah miliki.

“Kalau anda seperti saya, anda juga akan berbuat demikian,” katanya kepada kumpulan wartawan.

Sehubungan itu beliau mahu orang melihat pencapaiannya dan bukannya apa yang dilakukannya di luar padang.

“Saya banyak berdiam dalam isu ini. Memang anda berhak mengkritik saya bila-bila masa kerana saya juga tidak lari daripada melakukan kesilapan. Saya bukan insan yang sempurna.

“Tetapi fahamilah, saya juga perlu keluar berseronok dengan kawan-kawan saya. Saya juga ada keluarga. Jadi kenapa saya tidak boleh berparti? Saya akan terus berseronok dengan cara itu. Selagi saya masih mampu memikul tanggungjawab sebagai pemain yang menjadi harapan, saya tidak nampak ia satu masalah,” tegasnya.

W: 4.3983

H: 15.07