CALON PM PAKATAN PERLU ATASI MASALAH DITINGGALKAN NAJIB, KATA RAFIZI

PAKATAN Harapan (PH) tidak memilih calon perdana menteri yang lebih muda kerana sekiranya berjaya menakluk Putrajaya, pemimpin itu bakal menanggung beban berat untuk menyelesaikan krisis negara legasi pentadbiran sekarang, kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Rafizi berkata, ada dua tahap kesukaran yang perlu ditempuh pembangkang. Pertama, ialah untuk menang pilihan raya walaupun berdepan kemungkinan wujudnya pertandingan tiga penjuru, dan yang kedua selepas menang mereka terpaksa pula menanggung beban masalah yang ditinggalkan pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak.

“Jika kita menang, ia bukan mudah. Ia akan jadi beban berat.

“Kerana itu kriteria (calon perdana menteri) sangat penting, kriteria bukanlah umur atau warna kulit. Ia sama ada calon itu mampu membantu kita menang pilihan raya dan selepas menang, calon itu berupaya memimpin Kabinet dan kerajaan bagi mengatasi masalah besar ditinggalkan Najib,” katanya pada sesi Terus Terang ke-35 hari ini bertajuk “Muafakat PH”.

Beliau ditanya mengapa pembangkang tidak memilih calon yang lebih muda.

Katanya memandangkan Anwar Ibrahim masih dipenjara, tiada pemimpin lain sekarang selain daripada Dr Mahathir Mohamad yang berpengalaman luas dalam mentadbir negara mengharungi krisis besar.

“Kami akan menyerahkan masalah itu kepadanya (Dr Mahathir) dan dia akan (menyelesaikan) dengan bantuan menteri lain. Kerana itu persoalan calon tua atau muda tidak timbul.

“Majoriti pemimpin PH berpandangan yang Dr Mahathir adalah orang yang memenuhi kriteria yang dinyatakan,” kata Rafizi.

Ahli Parlimen Pandan itu juga mengatakan, jika beliau menjadi calon muda sekalipun, beliau lebih rela menunggu negara dalam keadaan “selamat” sebelum mentadbir kerana kekurangan pengalaman bagi menerajui negara berdepan krisis yang melanda sekarang.

Ketika ditanya perantara forum, Syed Ibrahim Syed Noh jika pelantikan Dr Mahathir adalah satu kesilapan seperti mana tanggapan sesetengah pihak, Rafizi berkata pengerusi Bersatu itu mampu menarik pengundi yang sebelum ini sukar menerima pembangkang.

“Misalnya penjawat awam veteran, orang tua yang menerima manfaat dari Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Kami percaya yang Dr Mahathir boleh bawa masuk pengundi tegar Umno ini. Kita tak perlukan banyak, kita hanya perlu mungkin satu atau dua peratus pengundi ini untuk menang di kerusi marginal,” katanya sambil menambah yang selepas PAS meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) mereka tidak lagi boleh terlalu bergantung kepada kumpulan pengundi yang sama.

Menurutnya lagi, keputusan PH menamakan calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri tidaklah menggambarkan yang PH tak sabar hendak berkuasa, tetapi itu adalah hak pengundi untuk tahu siapa yang akan memimpin mereka.

Tambahnya juga, menamakan calon adalah salah satu kaedah memenuhi 10 pra syarat pilihan raya umum.

“Rakyat berhak tahu (calon). Ia lebih demokratik untuk umum awal-awal supaya rakyat tahu siapa yang akan memimpin,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.