CALON PM: PAKATAN HARAPAN BELUM BINCANG – SAIFUDDIN ABDULLAH

PETALING JAYA – Pakatan Harapan belum mengadakan sebarang perbincangan mengenai calon perdana menteri sekiranya mereka menang dalam PRU14.

Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pemilihan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri adalah cadangan di peringkat PKR sahaja.

“Di peringkat Pakatan Harapan kita tidak bincang lagi untuk namakan siapa akan jadi perdana menteri. Tetapi sangat jelas PKR mencalonkan Anwar.

“Ada pemimpin dalam parti lain di dalam Pakatan Harapan yang sokong cadangan itu. Buat masa ini mereka masih melihat Anwar sebagai calon perdana menteri,” katanya ketika ditemui media, hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, terdapat beberapa pandangan dalam Pakatan Harapan mengenai isu calon  perdana menteri.

“Sekarang ini ada kalangan pemimpin utama yang mengatakan kita patut tumpu pada PRU14. Jika menang baru kita pilih siapa perdana menteri.

“Ada satu lagi pandangan kata lebih bagus jika sebelum PRU14, kita umum manifesto dan calon perdana menteri sekali. Tetapi setakat ini kita tidak sampai ke peringkat itu (perbincangan) lagi,” katanya.

Dalam Kongres Nasional Tahunan PKR ke-12 baru-baru ini, perwakilan dan pemimpin parti sepakat memilih Anwar sebagai calon perdana menteri.

Sokongan itu dinyatakan melalui plakad tertera tulisan ‘Anwar PM ke-7’.

Malah, Angkatan Muda Keadilan (AMK) turut berhasrat mengusulkan kepada parti dan Pakatan Harapan bagi menamakan Anwar sebagai calon perdana menteri dalam PRU14.

– SH

.