CALON PM DIUMUM SEBELUM PRU14 – MUHYIDDIN

PAKATAN Harapan hanya akan mengumumkan nama calon perdana menteri sebelum hari mengundi pada PRU14.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua pengundi pastinya ingin tahu setelah mereka mengundi untuk calon pembangkang dan mereka juga ingin pastikan siapa calon perdana menteri yang akan memimpin kerajaan sekiranya berjaya memerintah negara.

“Sebab itulah, namanya hanya boleh diumumkan apabila tiba pilihan raya. Nama calon perdana menteri ini mungkin akan diumumkan dalam manifesto Pakatan Harapan.

“Namun ketika ini, Pakatan Harapan tidak sepatutnya berbincang secara terbuka mengenai pemilihan calon perdana menteri ini. Ia perlu dibincangkan secara tertutup di peringkat dalaman,” kata Muhyiddin ketika ditemu bual oleh akhbar-akhbar Cina tempatan, baru-baru ini.

Kata Muhyiddin seperti dilaporkan China Press berkata, calon perdana menteri daripada parti pembangkang tidak semestinya dipilih daripada parti yang menang paling banyak kerusi, sebaliknya beliau adalah calon yang boleh diterima rakyat, dan pemimpin yang bersih.

Beliau berkata, jawatan perdana menteri sepatutnya hanya terhad untuk dua penggal sahaja iaitu selama 10 tahun.

“Buat masa ini, kuasa perdana menteri terlalu besar sehingga boleh memecat sesiapa sahaja sekiranya orang itu enggan mengikut arahannya,” kata bekas timbalan perdana menteri itu.

Beliau percaya, masyarakat Cina akan memberikan sokongan padu kepada Bersatu pada PRU14 walaupun parti itu berasaskan parti Melayu.

“Perjuangan Bersatu adalah untuk menyelamatkan Malaysia. Oleh itu, parti Bersatu akan memastikan semua kaum, sama ada Melayu, Cina, India mahupun kaum lain mempunyai masa depan yang lebih cerah di Malaysia,” katanya.

120 rumah dilelong setiap hari

Akibat gagal membayar pinjaman bank, menyebabkan semakin banyak rumah kediaman di sekitar Lembah Klang dilelong, terutama dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Pemilik-pemilik rumah ini yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muda, dipercayai dikenakan tindakan oleh bank untuk melelongkan rumah mereka setelah gagal meneruskan bayaran pinjaman setiap bulan.

Mengikut perangkaan yang diperoleh Lelongtips.com.my, hanya di Kuala Lumpur sahaja, jumlah rumah kediaman yang dilelong tahun lalu sebanyak 2,203 buah berbanding 1,789 buah berbanding 2015.

“Bermula 2004 sehingga hari ini, sebanyak 360,000 rumah kediaman telah dilelong ataupun secara purata, sebanyak 120 buah dilelong oleh bank setiap hari. Kebanyakannya yang terbabit dalam lelongan ini ialah rumah jenis flat, pangsapuri dan ‘service apartment’,” kata  laporan portal itu seperti dipetik Oriental Daily.

Salah satu punca utama golongan pemilik rumah kediaman ini gagal melakukan pembayaran pinjaman adalah disebabkan kemelesetan ekonomi melanda negara ini, sejak akhir-akhir ini.

Daripada jumlah pemilik rumah kediaman yang terbabit ini, kira-kira 70 peratus adalah terdiri daripada golongan berusia 30 hingga 40-an.

Mereka ini dikatakan menikmati bayaran deposit rendah yang disediakan oleh syarikat-syarikat pemaju perumahan, namun gagal menanggung bayaran pinjaman setiap bulan seperti disyaratkan oleh bank.

China hargai sumbangan Adenan

Pemergian Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem bukan sahaja dirasai oleh pemimpin-pemimpin tempatan, malah pejabat kedutaan China di Malaysia turut sedih kehilangan seorang pemimpin berdedikasi.

Duta Besar China ke Malaysia, Dr Huang Huikang berkata, beliau memuji usaha yang telah dilakukan Adenan kepada Sarawak terutama dari segi ekonomi dan pembangunan.

“Begitu juga dengan sumbangan Adenan dalam mengeratkan hubungan kerjasama antara China dengan rakyat Sarawak. Dalam beberapa pertemuan saya dengan Adenan sebelum ini, beliau seorang pemimpin yang mesra dan bijaksana.

“Pengorbanan Adenan pastinya akan dikenang rakyat Sarawak buat selama-lamanya,” kata HuiKang dalam kenyataannya yang disiarkan di akhbar Sin Chew Jit Poh.

– SH

.