CALON PM DARI HARAPAN: POLEMIK SIHAT, DEMOKRASI SUBUR!

Siapakah yang layak ditabalkan sebagai perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan yang baru menggantikan BN kini menjadi polemik yang menarik di alam maya dan laman sosial.

Saya mengikuti perbincangannya dengan penuh minat sekali. Bagi saya, siapa pun yang menjadi pilihan para pemimpin, penyokong dan pendokong Pakatan Harapan, calon- calon itu, seperti biasa, ada merit dan demeritnya. Ada kekuatan, mungkin dari satu sisi dan ada juga kelemahan, dari sisi yang lain pula.

Sudah tentu calon yang menjadi pilihan paling popular adalah Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M)  dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Kedua-dua calon ini, bagi saya , tidak syak lagi, diliihat memiliki material PM yang jelas dan jauh mengatasi calon-calon lain dalam kepimpinan HARAPAN itu sendiri.

Sudah tentu saya ada pilihan saya sendiri, namun saya tidak bercadang untuk berkongsinya sekarang. Saya ingin tegaskan tulisan ini pun tidak harus dilihat pengendorsan kepada mana- mana calon. Ia sekadar memeriahkan lagi polemik dan menghidupkan demokrasi. Nak tumpang sekaki je.
.
Saya juga rasa calon-calon lain dalam Pakatan Harapan selain Tun M dan DSAI seperti YB Permatang Pauh, YB Pagoh, presiden AMANAH, YAB Menteri Besar Selangor, YB Pandan dan ramai lagi mungkin juga layak dicalonkan, tetapi sepertimana yang saya katakan, sama ada kita suka atau tidak, mereka mungkin masih belum dapat mengatasi kehebatan Tun M dan DSAI. Bagi saya, pada masa ini, peranan mereka adalah pelengkap kepada kepimpinan Tun M atau DSAI.

Amat malang sekali, kerana politik perkauman yang amat tebal yang dimainkan oleh rejim pemerintah dan kini ditambah pula dengan politik neo-asabiyyah Melayu/Islam yang dimainkan oleh pihak-pihak tertentu, nampaknya meskipun wujud calon-calon yang sesuai dan layak daripada DAP seperti YB Gelang Patah dan anaknya YAB KM Pulau Pinang, namun nama mereka nampaknya terasing begitu sahaja. “I have a dream”, insya-Allah, satu hari nanti negara ini bebas dari diskriminasi ini.

Secara jujur, Tun M dan DSAI juga ada demerit masing-masing. Namun nampaknya merit mereka berdua mengatasi demerit mereka.

Masalah paling besar yang menghambat DSAI mungkin lebih kepada isu perundangan. Jangan salah anggap. Saya tak pernah rasa hukuman yang dikenakan ke atas DSAI adalah adil dan mengikut norma, piawaian dan standard keadilan yang sebenarnya.

Dan saya insya-Allah tak pernah jemu membela beliau di dalam dan di luar Parlimen. Begitu juuga kawan-kawan saya dalam Parti AMANAH di mana ,semua tahu, masa kami di dalam parti suci dulu, kami sering dituduh dan digelar Anwarinas kerana tak jemu-jemu mempertahankan DSAI.

Namun, realitinya, mencalonkan DSAI sebagai calon PM dalam keadaan beliau mungkin berhalangan untuk dicalonkan sebagai calon dalam PRU14 mungkin akan mengakibatkan Pakatan Harapan dilihat seolah-olah meremehkan Perlembagaan dan ” insult people’s intelligence.”.

Mungkin sahaja jika Pakatan Harapan berkuasa, sesuatu boleh dilakukan dari segi perundangan untuk membuka ruang dan saluran bagi DSAI masuk semula ke Parlimen sekaligus ditabalkan sebagai PM. Namun, secara realistik, untutk PRU14, masa, malangnya, tidak memihak kepada DSAI. Ini pandangan peribadi saya lah dan saya harap saya silap.

Tun M mungkin tidak menghadapi masalah hambatan perundangan seperti DSAI. Namun, beliau nampaknya juga tidak disenangi oleh setengah pihak khususnya mereka yang sukar nak lupakan apa yang beliau lakukan sebelum ini- ketika beliau berkuasa dan menerajui negara ini.

Saya biasa dengar rungutan dari mereka yang tidak senang dengan Tun M bahawa mereka melahirkan kebimbangan mereka jika Tun M menjadi PM, beliau mungkin akan kembali kepada tabiat lama beliau yang sering disinonimkan dengan kediktatoran dan kezaliman.

Saya tak kata kebimbangan mereka kepada Tun M itu langsung tidak berasas. Mungkin ada asasnya. Namun, bagi saya, ia masih tetap berstatus spekulasi. Logiknya, insan seperti presiden AMANAH, YB Gelang Patah, YAB Bagan, YB Shah Alam hatta DSAI sendiri yang pernah menjadi mangsa kezaliman undang-undang drakonian di zaman Tun M, sepatutnya tidak boleh bersama dengan Tun M.

Tapi lihatlah sifat “gentleman” mereka. Begitu juga YB Permatang Pauh dan YB Lembah Pantai atau YB Puchong – mustahil mereka lupa apa yang berlaku pada suami atau bapa mereka di zaman Tun M.

Bagi saya, mereka semua mungkin sanggup lupakan sejarah pahit mereka dengan Tun M kerana mengutamakan agenda yang lebih penting lagi – ingin selamatkan negara tercinta ini dari terus dirosakkan oleh sikleptokrat yang berselirat dengan skandal dan bebankan rakyat. Bagi AMANAH, sudah tentu “qudwah” (model) yang dipamerkan oleh Rasulullah s.a.w. ke atas musuhnya semasa “fathu Makkah” ( pembukaan Kota Mekah ) pada tahun 8 hijrah adalah “precedent” kami.

Saya juga rasa, adalah tidak adil untuk terus menerus “bersangka buruk” dengan Tun M dan semacam tidak bersedia memberi beliau “any benefit of doubt” untuk bersama-sama Pakatan Harapan menyelamatkan negara yang nak karam. Ya, Tun M ada sejarah yang tidak menggembirakan dahulu tetapi siapa yang tiada? Apatah lagi, Tun M pun kini menjadi mangsa kezaliman BN/Umno.

Bagi saya, untuk berlaku adil kepada Tun M, dahulu beliau boleh dikatakan dikelilingi oleh ramai “yes men” atau pak angguk yang tidak berani mungkin menegur beliau hatta jika dia melakukan kesilapan. Namun, keadaan sekarang jauh berbeza. Dengan wujudnya pemimpin seperti YB Shah Alam atau YB Puchong, saya tak rasa Tun M bebas seperti dalam BN dulu.

Bagi saya, yang jelas Tun M ada “x factor” yang mungkin tidak ada pada pemimpin lain dalam Pakatan Harapan. Saya nampak Tun M mampu menarik undi orang melayu yang selama ini amat sukar ditembusi oleh pemimpin Pakatan Harapan yang lain seperti pengundi Felda. Lihatlah betapa hebatnya Tun M boleh “relate” dengan golongan artis yang digilai oleh pengundi muda.

Bagaimanapun, sekiranya diandaikan Tun M yang menjadi pilihan Pakatan Harapan sebagai calon PM, saya rasa Pakatan Harapan wajib mengambil saranan dari mereka yang mungkin bimbang Tun M mungkin kembali ke zaman lamanya agar kebimbangan itu dapat dihapuskan sama sekali. Mekanismenya, bagi saya, boleh dibincangkan secara baik dan jujur.

MOHAMED HANIPA MAIDIN seorang peguam dan anggota parlimen Sepang. 

– M’kini

.