CALON BUKAN ISLAM PAS HANYA UNTUK IMEJ INKLUSIF

HASRAT PAS mahu meletakkan calon bukan Islam pada pilihan raya umum (PRU) akan datang hanya mahu memperlihatkan parti Islam itu bersifat lebih terbuka dan membawa imej inklusif, kata penganalisis.

Tetapi lebih daripada itu, mereka melihat ia isyarat PAS kukuh bersendirian dan tidak memihak kepada mana-mana gabungan politik, Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, penganalisis percaya strategi itu tidak akan berhasil menarik undi bukan Melayu.

Prof Dr Mohamad Abu Bakar dari Universiti Malaya berkata pengumuman PAS mahu menurunkan calon bukan Melayu pada PRU14 itu mahu menghantar mesej ia berkecuali dan bersendiri meskipun strategi tersebut masih belum diketahui manfaatnya. 

“Mungkin merugikan atau menguntungkan, itu soal kedua… sebab kalau (PAS) awal-awal lagi menyempitkan kedudukannya, ia seolah-olah sudah berkongsi dengan Umno.

“Maknanya kalau ia tidak menumpukan kawasan tertentu contohnya seperti kawasan bukan Melayu, kawasan tak boleh menang, maka seolah-olah ia memberi laluan kepada Umno, dan itu memberi gambaran bahawa ia bersekongkol dengan Umno.

“Mahu tidak mahu, ia perlu menunjukkan ia parti yang tidak tertakluk bukan saja kepada PH tetapi juga pada Umno,” katanya.

Penganalisis politik Hisomuddin Bakar melihat perhimpunan di Kuala Terengganu pada hujung minggu ini akan memberi isyarat lebih jelas mengenai kedudukan PAS menuju Pilihan Raya Umum ke-14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2017.
Penganalisis politik Hisomuddin Bakar melihat perhimpunan di Kuala Terengganu pada hujung minggu ini akan memberi isyarat lebih jelas mengenai kedudukan PAS menuju Pilihan Raya Umum ke-14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2017.

PAS Pahang minggu lalu mengumumkan bakal menurunkan 10% calon bukan Islam dan akan bertanding di sekurang-kurangnya 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 13 kerusi Parlimen pada PRU14 nanti.

Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan parti Islam itu akan menurunkan calon bukan Islam namun selepas ia mengenal pasti potensinya untuk menang.

Katanya, jumlah calon itu tidak tertakluk pada angka tertentu sebaliknya bergantung pada boleh menang.

“Yang penting potensi menang. (Jumlah kerusinya) mungkin boleh jadi kurang atau lebih. Ini menunjukkan kami komited untuk memastikan calon pelbagai kaum,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Samsuri juga memberitahu PAS sudah mengenal pasti kawasan berpotensi boleh menang tetapi beliau enggan mendedahkannya lebih lanjut.

“Bila sampai masa kita umum,” katanya.

Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre berkata keputusan berkenaan hanya memperlihatkan usaha PAS mahu memenangi hati pengundi bukan Melayu selepas berpecah dari Pakatan Rakyat.

Beliau percaya itulah strategi yang akan dipakai oleh PAS di negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia seperti Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Tetapi katanya, PAS tidak mungkin mampu memulihkan sokongan pengundi bukan Melayu terutamanya pengundi Cina, yang lebih menumpukan perhatian pada dasar perjuangan dan hala tuju parti.

“(Apa yang) lebih utama ialah perjuangan yang dibawa oleh parti atau gabungan parti dalam pilihan raya. Tambahan pula posisi politik PAS dalam politik sekarang ini mengelirukan pengundi.

“Budaya politik matang dan sejahtera ini gagal diterangkan PAS dengan baik. Berkecuali dalam Bajet, berpuas hati dengan penerangan skandal kerajaan seperti 1MDB dan lainnya, semua ini menjadi aspek penting penilaian pengundi,” Hisommudin.

– https://www.themalaysianinsight.com

.