‘Cakap banyak, saya hantar Mat Cangkul’ – TMJ

KUALA LUMPUR  – Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengucapkan tahniah kepada pemain-pemain Harimau Selatan walaupun mereka gagal mempertahankan Piala AFC setelah tumpas kepada Bengaluru semalam.

Bercakap menerusi akaun Facebook Johor Southern Tigers, Tunku Ismail berkata walaupun tidak puas hati dengan kekalahan itu namun menjadi pasukan pertama dari Malaysia mara dua kali berturut-turut ke separuh akhir Piala AFC adalah satu pencapaian berharga bagi dirinya.

Dalam pertemuan timbal balik itu, JDT tewas menerusi agregat 2-4 selepas seri 1-1 dalam separuh akhir pertama di tempat sendiri dan tewas 1-3 dalam separuh akhir kedua di Bangalore, India.

Tunku Mahkota Johor itu turut membidas pihak yang didakwanya tidak suka dengan JDT telah menjadi rakyat India (menyokong Bengaluru) kerana gembira dengan kekalahan Harimau Selatan.

Tunku Ismail juga memberi amaran sinis kepada mereka agar tidak banyak bercakap atau “saya akan hantar Mat Cangkul”.

Mat Cangkul merujuk kepada lelaki dalam kejadian serangan ke atas pekerja Syarikat Air Johor Holding Sdn. Bhd. (SAJ) ketika mahu memotong bekalan air di sebuah rumah. Mereka telah diserang oleh dua lelaki dari Kampung Melayu Kulai, Johor dan salah seorang penyerang telah mengugut untuk mencederakan pekerja SAJ itu menggunakan cangkul.

Berikut adalah komen penuh Tunku Ismail yang dipetik menerusi akaun Facebook Johor Southern Tigers selepas kekalahan JDT kepada Bengaluru.

SOALAN WARTAWAN (SW): Apa pendapat Tunku tentang perlawanan (separuh akhir Piala) AFC (antara JDT dan Bengaluru FC) sebentar tadi?

TMJ: Bagi saya keputusan yang tidak begitu memuaskan. Tetapi saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pemain-pemain JDT. Untuk berjaya sampai ke semi-final dua tahun berturut-turut sebagai pasukan Malaysia yang pertama adalah amat berharga dan pencapaian yang paling baik bagi saya. Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pemain-pemain, pihak pengurusan JDT dan juga termasuk penyokong-penyokong yang sentiasa memberi sokongan.

SW: Ada orang cakap yang JDT tidak kejar Piala Malaysia tetapi kalah di peringkat separuh akhir Piala AFC. Apa pendapat Tunku?

TMJ: Bagi saya, kita ada kelab yang letak keutamaan pada Piala Malaysia, ada kelab yang letak keutamaan pada Piala Liga atau Piala AFC. Bagi saya, untuk berada dalam semi-final sudah cukup bagus. Apa saya boleh complaint. Saya tidak boleh complaint apa-apa hanya boleh bersyukur. Tiga piala tahun ini. (Juara) Liga (Super), FA Cup termasuk Piala Sumbangsih. So saya tidak tahu apa orang nak cakap, kenapa orang sibuk sangat. Hari ini saya nampak lebih banyak rakyat Malaysia jadi rakyat India pulak. Macam happy sangat sedangkan kita ni pasukan JDT yang mewakili negara. Tetapi sikap lalang ni tunjuklah orang Malaysia macam mana. Saya tidak peduli apa yang orang lain cakap. Pada saya kami adalah pasukan yang paling sukses buat masa ini dalam dan di luar padang. Pasukan yang terbaik dalam negara, dalam dan di luar padang. Satu negara kenal kami. Orang luar kenal kami. Orang luar memberi pengiktirafan kepada kami. Kalau orang lain nak sakit hati, mereput, mereputlah. Peduli apa saya.

SW: Ada apa-apa lagi komen Tunku?

TMJ: Komen saya yang lain, jangan cakap banyak. Kalau cakap banyak, saya hantar Mat Cangkul je lain kali.

SW: Terima kasih Tunku.

TMJ: Terima kasih.

– UTUSAN

.