Cadangan tukar sempadan p’raya semua kerusi parlimen KL, T’ganu

Sempadan pilihan raya untuk kesemua 11 kawasan parlimen di Kuala Lumpur akan bertukar, berdasarkan cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

Terengganu menyaksikan cadangan kesemua lapan kerusi diubah, sementara Johor menjadi negeri paling banyak perubahan dicadangkan, iaitu di 21 daripada 26 kerusi.

Ini diikuti Selangor (18 daripada 22 kerusi terjejas) dan Perak (17 daripada 24 kerusi terjejas).

Untuk Sabah, perubahan dicadangkan untuk 15 daripada 35 kerusi parlimen.

Tiada perubahan untuk Perlis, Putrajaya dan Labuan.

Maklumat ini berdasarkan notis SPR di akhbar-akhbar utama hari ini, yang disiarkan bawah Seksyen 4, Bahagian II, Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan.

Antara lain, ia menyenaraikan jumlah pemilih dicadangkan setiap kawasan, perubahan nama dan sama ada sempadan kawasannya diubah.

Orang awam boleh menyemak dan membuat bantahan terhadap cadangan itu sehingga tamat waktu bekerja pada 14 Ogos depan.

Tiada peta dimuatkan dalam notis itu.
Bawah cadangan itu, keseluruhan 12 kerusi parlimen dan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dicadangkan ditukar nama.

Perubahan paling banyak dicadangkan di Selangor di lima parlimen dan enam DUN.

Sebagai contoh, kerusi Subang yang disandang oleh PKR akan ditukar nama kepada Sungai Buloh manakala Kelana Jaya (juga PKR) dicadang ditukar kepada Subang. – M’kini

.