Cadangan tempoh PM dua penggal rasional

SHAH ALAM – Cadangan tempoh perkhidmatan perdana menteri selama dua penggal adalah sangat rasional dengan mengambil kira pendekatan beberapa negara luar yang lain.

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat dan Indonesia turut menggunakan pendekatan sedemikian dalam pentadbiran mereka malah ia turut memberikan kesan positif kepada masyarakat.

“Saya kira cadangan dua penggal itu adalah tempoh rasional buat pemimpin untuk memegang jawatan sebagai perdana menteri.

“Sudah tentu individu yang menjadi perdana menteri akan cuba melaksanakan manifesto mereka dengan sebaik mungkin supaya memudahkan apabila meninggalkan jawatan tersebut selepas dua penggal,”katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Sebelum ini, Setiausaha Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Anuar Mohd Tahir memaklumkan bahawa cadangan tempoh perkhidmatan perdana menteri dua penggal telah mendapat persetujuan daripada Pakatan Harapan walaupun secara tidak rasmi.

Malah, Anuar berkata cadangan berkenaan juga adalah amat bersesuaian bagi ‘check and balance’.

Dalam pada itu, Marthada memaklumkan bahawa sekiranya perdana menteri diberi tempoh lebih dari dua penggal, ia dibimbangkan akan memberi kesan kepada perjuangan terhadap masyarakat di negara ini.

“Ini penting kerana kalau jadi perdana menteri lebih dari dua penggal, perjuangan yang dibawa itu dibimbangkan bukan lagi untuk masyarakat namun lebih menjurus kepada kepentingan peribadi.

“Sebab itu pelaksanaan ini sangat rasional dengan mengambil kira pendekatan negara maju lain,” katanya.

– Sinar Harian

.