Cadangan ‘Pinjam’ DUN Pengkalan Rinting Atas Semangat Setiakawan – Nur Jazlan

JOHOR BAHRU –  Cadangan ‘meminjam’ kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Rinting di sini untuk ditandingi Umno pada pilihan rayaumum akan datang dibuat berdasarkan sikap setiakawan di kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN).

Sambil menafikan cubaan menidakkan peluang parti komponen lain, Ketua Umno Bahagian Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata beliau melontarkan cadangan itu untuk membolehkan BN memenangi kembali kerusi DUN Pengkalan Rinting.

“Itu sahaja niat sebenarnya, tidak lebih daripada itu,” katanya kepada pemberita mengenai perkembangan cadangan itu di sini selepas merasmikan Hari Graduasi Maktab Sultan Abu Bakar pada Sabtu.

Menurutnya ia juga antara langkah BN untuk sepakat dalam menyusun jentera pilihan raya, memilih calon dan berdepan pembangkang pada pilihanraya akan datang.

Pada PRU lepas, kawasan itu dimenangi Cheo Yee How daripada DAP yang mengetepikan calon MCA Chang Mei Kee menerusi majoriti 1,970 undi.

-Bernama

.