CADANGAN PENGGABUNGAN PKR, AMANAH DITOLAK

Pemimpin-pemimpin kanan PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) menolak cadangan penggabungan kedua-dua parti itu.

Dalam reaksi segera terhadap cadangan pemimpin Pemuda PKR Dr Afif Bahardin itu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution berkata idea itu masih terlalu awal untuk dibincang.

“Afif ada hak beri pandangan tetapi bagi saya ia agak pramatang.

“Biar AMANAH diberi peluang untuk kembangkan sayap mereka,” katanya kepada Malaysiakini.

Afif, timbalan Ketua Pemuda PKR, mencadangkan penggabungan itu memandangkan kedua-dua parti berkongsi nilai sama, termasuk pandangan terhadap Islam yang sederhana serta sifat pelbagai kaumnya.
Afif berkata idea itu timbul dalam mesyuarat dalaman PKR dan ramai pihak bersedia menerokai kemungkinan untuk cadangan itu.

Sementara itu, AMANAH juga tidak mempertimbangkan cadangan itu.

“Perkara itu tak berbangkit. Kita (sudah) pertimbangkan sebelum kita tubuhkan parti, tetapi sekarang kita sudah tubuhkan parti.

“Jadi tak berbangkitlah perkara itu,” kata Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub.

– M’kini

.