CADANGAN AMANAH UNTUK PERKASAKAN SYARIAH DI KELANTAN

Walaupun Parti Amanah Negara (Amanah) baru berusia setahun jagung tetapi idea dan gagasan yang dilontarkan pemimpinnya menunjukkan parti berkenaan sudah matang dan mempunyai komitmen yang tinggi dalam setiap aspek yang diperjuangkan.

Kewujudannya dalam rangka mempersiapkan sebuah kerajaan yang mampan.

Ini dapat disaksikan kepada beberapa tawaran atau pun pelan tindakan bakal dilaksanakan sekiranya parti itu diberikan mandat oleh orang ramai untuk membentuk kerajaan. Terkhusus di Kelantan tawaran atau iltizam yang dilafazkan oleh parti itu menerusi penasihatnya yang juga Naib Predsien Husam Musa, menarik dan sungguh praktikal.
Disamping beliau mengkritik beberapa kepincangan dalam pentadbiran kerajaan yang pernah dianggotainya (Pas), beliau turut mengemukakan cadangan dan pelan-pelan baharu yang praktikal dan dinamik untuk dilaksanakan. Sesetengah gagasan yang diutarakan tidak pun terpeta dalam kepimpinan kerajaan yang ada kini.

Beliau bukan sahaja bercakap dalam aspek ekonomi, pentadbiran (iktisad), kebajikan atau alam sekitar yang mana beliau dilihat menjurainya semasa berada dalam kerajaan bersama Alhmarhum Nik Abdul Aziz Nik Mat (2004 – 2013) dahulu, tetapi aspek keagamaan yang senonim dengan rakyat Kelantan juga tidak ketinggalan diutarakan. Satu demi satu subjek dilontarkan Husam seolah-olah setiap mauduk yang diluahkan itu sudah lama disimpan dalam khazanah dirinya.

Pembentangan kertas dasar untuk memperkasakan undang-undang Syariah di Kelantan dalam seminar tertutup Penal Syariah anjuran Amanah Kelantan berlangsung semalam menjelaskan iltizam dan cita-cita syumul beliau dalam Islam.

Berikut adalah kertas dasar berkenaan yang dibentangkan semalam.

AGENDA AMANAH KELANTAN DALAM PEMERKASAAAN UNDANG-UNDANG SYARIAH

يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُم بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَى فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ (38:26)

“Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (pemerentah) di muka bumi, maka berilah keputusan (pertelingkahan) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, karena ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.” – 38:26

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلّهِ شُهَدَاء بِالْقِسْطِ وَلاَ يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلاَّ تَعْدِلُواْ اعْدِلُواْ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُواْ اللّهَ إِنَّ اللّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ (5:8)

“Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.” – 5:8

Para hadhirin yang dihormati,

Melalui ayat pertama yang saya bacakan sekejap tadi, boleh kita simpulkan beberapa perkara:

a. Keadilan tidak dapat dipisahkan dari kuasa pemerentahan. Tanpa kuasa pemerentahan di tangan orang yang berkelayakan dan bertaqwa, keadilan mustahil dapat ditegakkan

b. Keadilan adalah maqasid utama syariah.

c. Keadilan adalah bersifat komprehensif, meliputi semua bidang kehidupan

d. Keadilan hendaklah dilaksanakan untuk dinikmati oleh semua rakyat atau manusia tanpa mengira fahaman dan agama. Kerana itu, kalimat ‘ bainannas’ digunakan.

e. Ancaman utama untuk berlaku adil adalah dorongan perasaan, sama ada kasih atau benci atau melupai kewajipan kerana kepentingan tertentu. Kerana itu, terhadap Nabi yang mulia juga perkara ini diperingatkan oleh Allah untuk dijauhi.

Sementara melalui ayat kedua pula;

a. Islam menuntut keadilan ditegakkan, keadilan adalah jambatan menuju taqwa.

b. Perasaan benci atau hatred boleh menimbulkan ketidak adilan dan kerana itu ia perlu dijauhi. Baik kebencian terhadap kelompok, kaum, agama atau apa sahaja.

Para hadhirin yang dihormati,

‘Fahkum bainannasi bil adl’ – meliputi sistem kenegaraan dan kepimpinan, sistem perundangan dan kehakiman, pengkanunan undang-undang yang relevan serta prasarana dan perkara lain yang berkaitan.

Pemerkasaan semua ini adalah sebahagian dari usaha untuk bertaqwa bagi kita orang Mu’min.

Saya mengucapkan syukur kepada Allah kerana Panel Syariah Amanah Negeri Kelantan telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan seminar Panel Syariah Amanah Kelantan pada pagi ini, bertujuan meneliti pelbagai isu berkaitan syariah secara komprehensif, kontemporari, relevan dan berkaca mata-kan kebijaksanaan dan siasah yang tinggi.

1.0 Saya akan menjuruskan ucapan saya selanjutnya kepada bidang pemerkasaan undang-undang syariah bagi Negeri Kelantan.

Saya melihat, untuk memperkasakan pelaksanaan syariah di Negeri Kelantan, jalannya bukan sahaja dengan cuba meminda Enakmen Jenayah Syariah dan menaikkan kuasa Mahkamah Syariah semata-mata, dan bukan semata-mata mencuba meminda sesuatu yang sukar dicapai, tetapi juga melihat aspek, bidang dan enakmen lain yang masih boleh dicapai dan dilakukan dengan mudah.

Bahkan, pada masa pihak tertentu membesarkan usaha mereka meminda Akta Mahkamah Syariah (bidangkuasa jenayah)Persekutuan, atas dakwaan dengan pindaan itu akan membolehkan sebahagian Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Negeri Kelantan 2015(EKJSII Kelantan 2015) dapat dilaksanakan, Enakmen lain yang berkaitan erat bagi pelaksanaan sebahagian Enakmen Jenayah Syariah itu sendiri, tidak pula dipinda disentuh. Ini termasuk:

a) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah

b) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah

Pada hemat saya, usaha pihak tertentu untuk meminda Akta 355 lebih menjurus kepada usaha politik berbanding bertujuan melaksanakan apa-apa atau sebahagian dari EKJSII Kelantan 2015 memandangkan kemudahan prasarana lain berkaitan yang belum diselaraskan, seperti infrastruktur mahkamah dan perundangan.

Ketiadaan Mahkamah Bicara Khas Syariah, Mahkamah Rayuan Khas Syariah, Perlantikan hakim berkaitan, enakmen-enakmen sedia ada yang belum dipinda, ketiadaan undang-undang subsidiari berkaitan seperti kaedah-kaedah hukuman, SOP siasatan dan penguatkuasaan dan sebagainya menunjukkan urusan pentadbiran keadilan di negeri Kelantan ini masih belum berada pada tempatnya.

Sampai hari ini, kita belum mendengar umpamanya semakan dan pindaan ke atas, Enakmen Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah, Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah 2002 dan seumpamanya.( contoh: persampelan DNA untuk sabitan nasab dan kes jenayah)

Pada kesempatan pagi ini, saya tidak bercadang menyentuh isu itu secara lebih lanjut. Kita tidak patut membelenggu pemikiran dan agenda kita hanya kepada pindaan atau kuatkuasaan Enakmen yang mempunyai halangan dan kesukaran tertentu itu semata-mata. Ruang pemerkasaan syariah, selain dari kontraversi RUU 355 masih lagi luas.

Termasuk:

A) Pindaan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Kelantan 2002, bertujuan memperkemaskan pentadbiran berkaitan perkahwinan dan perceraian orang-orang Islam serta menyemak kembali kesalahan-kesalahan matrimoni yang terdapat dalam enakmen tersebut sesuai dengan perkembangan semasa.

B) Dengan perkenan KDYMM Al Sultan, adalah dicadangkan, Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan 1994, bertujuan memperkasakan MAIK sebagai pemegang amanah tunggal harta keagamaan orang-orang Islam seperti institusi baitulmal, zakat,waqaf, wasiat dan sebagainya, diperkemaskan.

C. Penggubalan Undang-Undang Baru yang belum wujud seperti:

Penggubalan undang-undang pentadbiran mal/sivil orang-orang Islam :

i) Enakmen Wakaf

ii) Enakmen Pusaka

D. Memperkemaskan Struktur pentadbiran keadilan dan perjawatan :

i) Mahkamah Syariah

ii) Jabatan Pendakwaan Syariah

iii) Bahagian Penguatkuasaan Syarie

iv) Pusat Sulh Mahkamah Syariah Kelantan

E. Penambahbaikan Infrastruktur Mahkamah Syariah

F. Pembangunan Sumber Manusia dan Latihan

Penggubalan Enakmen–Enakmen Pentadbiran Mal /Sivil

Oleh sebab itu, saya mencadangkan Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Kelantan pimpinan Amanah lebih memberikan perhatian kepada ruang pemerkasaan syariah yang lebih luas dan mampu dicapai atau dilaksanakan. Pada masa yang sama, ia tidak kurang pentingnya dalam mencapai maqasid syariah dan kesejahteraan masyarakat serta mencapai keadilan seperti yang dituntut oleh Islam.

1.0 Mahkamah Syariah tidak sepatutnya dilihat hebat pada sudut menghukum dalam kes-kes jenayah semata-mata tetapi seharusnya berperanan menyelesaikan pertikaian melibatkan harta orang-orang Islam juga . Inilah yang telah ditegaskan oleh ulama berkaitan tentang peranan utama mahkamah di dalam Islam. Antaranya adalah untuk memutuskan sesuatu pertikaian antara pihak-pihak. Dr Abdul Karim Zaidan telah menghuraikannya di dalam bukunya Sistem Kehakiman di dalam Islam.

2.0 Selain dari tumpuan penggubalan undang-undang jenayah Islam, Mahkamah Syariah seharusnya tidak melupakan bidangkuasa mal/sivilnya bagi membicarakan hal-hal berkaitan mal(kewangan dan harta benda) dan urusan harta mengikut syarak orang-orang Islam yang termaktub di dalam bidangkuasa negeri (Jadual Kesembilan Senarai 2 Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan).

3.0 Hukum Syarak yang banyak terkandung di dalam kitab dan buku-buku, seharusnya diperkanunkan menjadi undang-undang yang seragam bagi maksud menyusun dan mentadbir urusan muamalat masyarakat Islam masa kini selaras dengan kaedah Siyasah Syariyyah. Wakaf, wasiat dan pusaka adalah antara aspek yang belum diperkanunkan menjadi undang-undang pentadbiran yang khusus.

4.0 Amalan sekarang bagi pentadbiran wakaf dan wasiat hanya menggunapakai enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994 yang terbatas peruntukannya berkaitan wakaf, nazar dan sebagainya.

5.0 Penggubalan Enakmen khusus ini, selepas perkenan KDYMM Al Sultan, dapat memberi satu garispanduan yang lengkap pentadbiran wakaf di Negeri Kelantan dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Islam Kelantan adalah sebagai pemegang amanah tunggal semua wakaf di negeri Kelantan. Pembangunan tanah wakaf mampu menjana hasil dan pendapatan serta merancakkan lagi perancangan dan pembangunan ekonomi golongan asnaf. JUga secara tidak langsung mengukuhkan ekonomi ummat di negeri ini.

6.0 Kelantan agak terkebelakang pada sudut memperkenalkan undang-undang ini berbanding dengan negeri-negeri lain seperti Selangor dan Negeri Sembilan, sungguh pun kerajaan yang ada merwar-warkan slogan Membangun Bersama Islam.

7.0 Saya mencadangkan, Amanah Negeri Kelantan mencadangkan penggubalan enakmen Wakaf sebagaimana Negeri Selangor dan Negeri Sembilan yang mempunyai undang-undang wakaf khusus di Malaysia, iaitu:
i) Enakmen Wakaf Negeri Selangor 2015 (pemansuhan Enakmen 1999)
ii) Enakmen Wakaf negeri Sembilan 2005 (belum dikuatkuasakan)

7.0 Seksyen 4 RUU Wakaf 2017 menjelaskan peranan Majlis sebagai pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf:

4(1) Majlis hendaklah menjadi pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf yang terletak didalam negeri Kelantan dan hendaklah mempunyai kuasa untuk :
a) Mewujudkan perbadanan
b) Melantik atau memberi kebenaran bertulis kepada mana-mana orang untuk menjadi pentadbir atau pengurus dan memegang apa-apa mawquf bagi pihaknya : dan
c) Mengiktiraf perlantikan mana-mana pentadbir atau pengurus dalam keadaan yang mana waqif telah pun melantik pentadbir atau pengurusnya sendiri tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh majlis.

2) mana-mana pengurus atau pentadbir yang dilantik dibawah perenggan (b) dan (c) hendaklah mempunyai kewajipan dan tanggungjawab sebagaimana yang ditetapkan oleh Majlis.

3) Majlis boleh menarik balik pengiktirafan perlantikan pentadbir atau pengurus yang dilantik oleh waqif yang pada pendapat Majlis adalah wajar untuk berbuat demikian.

4) Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk melakukan semua perkara yang suai manfaat atau semunasabahnya perlu bagi atau bersampingan dengan perlaksanaan kewajipan dan tanggungjawab di bawah Enakmen ini.
( seperti mana seksyen 4 Enakmen Wakaf Selangor 2015)

8.0 Wakaf sekarang telah berkembang dengan wujud pelbagai bentuk produk yang ditawarkan seperti wakaf tunai, wakaf pendidikan, wakaf kesihatan dan sebagainya. Oleh itu satu undang-undang yang menyelaras pentadbiran wakaf ini perlu diadakan khususnya di Negeri Kelantan yang terkenal dengan minat rakyatnya yang tinggi dan subur dalam mewakafkan harta mereka.

9.0 Saya mengucapkan tahniah kepada Panel Syariah Amanah Kelantan yang telah menulis draf Rang Enakmen (RE) Wakaf Negeri Kelantan 2017 yang lengkap untuk dikemukakan kepada Kerajaan Negeri untuk dibentangkan.

Ini menunjukkan Amanah adalah sebuah parti yang konstruktif, ditunjangi dengan cara bekerja yang profesional dan melihat ke hadapan dengan penuh rasa tanggung jawab kepada ummah dan bersedia memikul tanggung jawab secara berkesan.

10. Saya difahamkan, Rang Enakmen Wakaf ini dirangka dengan membuat penelitian terhadap Enakmen Wakaf Negeri Selangor 2015 yang telah dikuatkuasakan dan menceduk aspek kesalahan-kesalahan yang telah diperkanunkan dan penalti-penalti sebagaimana di dalam Enakmen Wakaf Negeri Sembilan 2005. ( lihat lampiran )

11.0 Saya difahamkan juga, Panel Syariah Amanah Kelantan juga telah merangka Rang Enakmen Pusaka (Faraid) Negeri Kelantan 2017 dengan undang-undang yang diperkanunkan bagi mengatur urusan penentuan hak-hak ahli waris berdasarkan dalil-dalil ayat al-Quran yang telah diperincikan seperti Surah An Nisa’, ayat 11-12.

Termasuk mengambil kira bidangkuasa Mahkamah Syariah terbatas setakat mengeluarkan sijil faraid sahaja, manakala dalam soal pembahagian dan pentadbiran pusaka orang-orang Islam ianya terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Sivil melalui Akta Pembahagian Pusaka Kecil dan Akta Pembahagian Pusaka Biasa.

12.0 Penggubalan undang-undang substantif berhubung pusaka dan aspek-aspek pentadbirannya yang kondusif serta seragam perlu disegerakan dengan memastikan prinsip hukum faraid dapat direalisasikan berdasarkan maslahah semasa dan maqasid syar’iyyah.

Enakmen-enakmen ini nanti banyak membantu Mahkamah Syariah bagi menyelesaikan pertikaian yang berlaku di kalangan orang-orang Islam dalam isu pusaka dan pengesahan wasiat.

Jika ini berlaku, Kelantan adalah negeri pertama yang menggubal enakmen pusaka(faraid) ini.

Penubuhan Suruhanjaya Kehakiman Syariah Negeri Kelantan

13.0 Sehubungan dengan itu juga seharusnya kerajaan menilai kembali enakmen-enakmen yang sedia ada seperti Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah dan memasukkan elemen-elemen penambahbaikan ke arah penubuhan Suruhanjaya Kehakiman Syarie Kelantan yang dapat menonjolkan kebebasan kehakiman daripada unsur campurtangan badan eksekutif dan legislatif.

14.0 Kedudukan pegawai kehakiman Syariah sekarang di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri atau Kerajaan Negeri boleh dilihat masih mempunyai hubungan langsung atau pengaruh yang tidak langsung.

Begitu juga kewujudan Jabatan Pendakwa Syariah yang seharusnya diletakkan berasingan di bawah Suruhanjaya Kehakiman Syariah dan mengelakkan wujud pendakwaaan terpilih yang boleh menghakis kepercayaan masyarakat terhadap badan pendakwa syariah ini.

15.0 Termasuk, organisasi penguatkuasa syariah dengan bilangan kakitangan dan bajet yang terhad diperutukkan kepada Bahagian Penguatkuasa Syariah yang beroperasi di seluruh jajahan tidak memungkinkan kelancaran urusan penguatkuasaan syariah. Rata-rata penguatkuasa syarie yang di tempatkan di jajahan-jajahan adalah berstatus kontrak atau sementara.

Penubuhan Pusat Sulh Mahkamah Syariah

16.0 Penyelesaian kes tanpa perlu memakan masa yang lama adalah satu petanda aras kecekapan sistem kehakiman. Antara mekanisma yang telah diperkenalkan dan diguna pakai di dalam sistem konvensional sekarang adalah kaedah mediasi atau sulh.

Saya difahamkan, Mahkamah Syariah telah melaksanakan sistem sulh ini, namun pada masa ini, hanya ada 3 orang pegawai sulh yang terpaksa digilirkan untuk mengendalikan kes-kes di seluruh Kelantan. Sepatutnya, keseluruhan mekanisme menegakkan keadilan Islam perlu diperkasakan dan ditambahbaik untuk meningkatkan keyakinan masyarakat.

17.0 Di Mahkamah-mahkamah Tinggi Sivil seluruh Negara telah diwujudkan Pusat Mediasi Negeri-negeri bagi tujuan membantu sistem kehakiman sedia ada mempercepatkan kes-kes pertikaian yang dapat menjimatkan kos dan masa pihak-pihak yang bertikai. Mekanisma yang sama boleh diwujudkan di Mahkamah Syariah Negeri yang jelas ianya 100 peratus terletak di bawah bidangkuasa Kerajaan Negeri.

Pusat tersebut boleh dikenali dengan nama Pusat Sulh Mahkamah Syariah yang mungkin juga nanti boleh dirujuk oleh Mahkamah Sivil atau Pegawai Pembahagi Pusaka Kecil JKPTG, terutama dalam kes-kes pertikaian pusaka yang menjadi bidangkuasa Kerajaan Persekutuan.

18.0 Saya percaya, hasil pendapatan yang boleh didapati daripada penyelesaian segera kes-kes di mahkamah-mahkamah syariah negeri Kelantan mampu dipertingkatkan dengan kecekapan penyelesaian kes-kes yang melibatkan tuntutan harta orang-orang Islam khususnya hartanah. Pejabat tanah dan jajahan mampu mendapat hasil secara lansung apabila tanah-tanah yang dipertikaikan tersebut serta dapat dibangunkan tanpa halangan yang berlanjutan.

19.0 Pembangunan sosio ekonomi rakyat sekaligus dapat dibangunkan. Kerajaan akan dilihat peka terhadap pentadbiran keadilan syariah di mana ia mempunyai bidangkuasa dan bertindak selaras dengan kaedah fiqh ‘Tasarruful Imam Manutun bil Maslahah’.

Penambahbaikan infrastruktur fizikal dan pegawai Mahkamah Syariah

20.0 Imej Mahkamah Syariah adalah satu syiar yang menjadi cermin keprofesionalisme sistem keadilan syariah di negeri ini. Bangunan yang uzur dan tidak memenuhi ciri-ciri keselamatan perlu dielakkan supaya menutup ruang-ruang kritikan masyarakat umum kepada institusi keadilan Islam ini. Selain Mahkamah Syariah Kota Bharu yang mempunyai bangunan sendiri, saya difahamkan di seluruh jajahan, Mahkamah Rendah Syariah masih berkongsi atau menduduki bangunan Pejabat Agama Jajahan yang sibuk dengan urusan orang ramai dalam pendaftran perkahwinan/ perceraian dan sebagainya.

Saya masih ingat, Almarhum Tuan Guru Nik Aziz pernah mencadangkan agar Mahkamah syariah mempunyai bangunan mahkamahnya sendiri di setiap jajahan. Hasrat yang murni ini seharusnya disokong bagi mewujudkan reform yang meyakinkan terhadap kecekapan pengurusan syariah di semua peringkat dan membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memperkasakannya.

21.0 Begitu juga kehormatan terhadap hakim syarie perlu dijaga dan ditingkatkan. Majlis Pentauliahan Hakim Syarie oleh Al-Sultan boleh menjadikan perlantikan hakim syarie mendapat perhatian masyarakat dan dilihat gah di mata masyarakat, seperti telah diamalkan di negeri-negeri lain.

Sistem saraan berdasarkan time-based seharusnya diamalkan. Menyamakan taraf megistret mahkamah sivil dengan seorang hakim syarie pada sudut bidangkuasa menjatuhkan hukuman jenayah adalah tidak adil sekiranya hakim syarie tidak diberi suatu sistem saraan gaji dan elaun yang hampir sama dengan hakim majistret. Sedangkan pada sudut kelayakan iktisas mereka mempunyai ijazah syariah dan undang-undang serta memiliki Diploma Pentadbiran dan Kehakiman Islam (DAIJ) dari universiti-universiti terpilih didalam Negara sebelum menjawat jawatan Pegawai Syariah (LS).

22.0 Peguam syarie juga dikira sebagai pegawai mahkamah Syariah yang membantu para hakim untuk menjalankan proses keadilan dengan seadil-adilnya. Mereka adalah golongan professional yang turut membatu melicinkan pentadbiran keadilan Mahkamah Syariah dan seharusnya dilibatkan secara kondusif di dalam membuat dasar dan perundangan.

Sebarang cadangan dan kritikan mereka seharusnya diraikan sebagai check and balance bagi menaikkan imej Mahkamah Syariah.

23.0 Perkhidmatan Mahkamah Syariah tidak seharusnya mengaut keuntungan daripada permasalahan kekeluargaan yang berlaku di kalangan masyarakat Islam. Fee perkhidmatan Mahkamah Syariah di Kelantan adalah tertinggi berbanding keseluruhan negeri di Malaysia. Disebut untuk menfailkan kes permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Jajahan perlu membayar kenaan pelbagai fee yang mampu mencecah sehingga RM100. Di negeri Terengganu, Kedah dan Selangor kenaan fee bagi pendaftaran permohonan cerai biasa tidak melebihi RM20 sahaja. Sehubungan dengan itu disarankan Kaedah fee Mahkamah Syariah disemak kembali dan sebarang fee yang disifatkan menyukarkan rakyat bawahan untuk mendapat perkhidmatan Mahkamah Syariah hendaklah diturunkan.

24.0 Akhir sekali, saya sangat berterima kasih kerana Panel Syariah Amanah Kelantan kerana telah sanggup mengambil tugas untuk membuat semakan yang agak menyeluruh terhadap perjalananan sistem peradilan syariah yang wujud di negeri Kelantan.

Saya yakin, Panel ini mampu memikirkan reform yang lebih bertenaga pada masa akan datang, jika ditakdirkan Allah Amanah berjaya mentadbir negeri ini pada satu masa nanti.

Cadangan-cadangan penambahbaikan dan penggubalan enakmen-enakmen baru yang telah saya sebutkan tadi, difahamkan telah pun diwujudkan dalam bentuk draf Enakmen yang lengkap.

Syabas saya ucapkan.

InsyaAllah, Amanah Kelantan akan menyampaikan cadangan penggubalan ini terus kepada YAB Menteri Besar Kelantan untuk pertimbangan Kerajaan Negeri bagi menyegerakan penggubalan dan pindaan yang bersesuaian dan berkaitan.

Semoga Allah memberkati usaha kita bersama meletakkan syariah sebagai obor penyelesai isu-isu kemasyarakatan dan ummah secara komprehensif, cekap, maju sesuai dengan perkembangan dan tuntutan semasa dan berketrampilan.

Ini lah sebenarnya antara Amanah yang dipikul oleh ummat Islam, khususnya pejuang dan golongan agamawan dan profesional, pada abad ini. Syariah yang kontemporari dan solusi kepada permasalan. Ini juga antara asas kewujudan Amanah di persada politik negeri Kelantan khususnya.

Amanah sebagai sebuah wadah perjuangan tidak akan wujud tanpa bertunjangkan syariah dan syariah juga tidak akan tegak tanpa sifat Amanah pihak yang berkewajipan. Amanah dan syariah berpisah tiada!

Sekian. Terima kasih.

Dato Husam Musa
Seminar Panel Syariah Amanah Kelantan

http://msomelayu.blogspot.my/