CADANGAN 30% SENATOR WANITA OLEH NAJIB MEMALUKAN, KATA HANNAH YEOH

PERDANA Menteri Najib Razak sudah mempunyai kuasa untuk memperkasakan wanita dalam politik sekarang, dan tidak perlu memenangi mandat pada pilihan raya umum ke-14 untuk memulakannya, kata Hannah Yeoh.

Speaker dewan undangan negeri Selangor dari DAP berkata Najib cuba mengaburi mata rakyat dengan menjanjikan untuk mempertimbangkan kuota “tidak kurang daripada 30%” wakil wanita di Dewan Negara jika Barisan Nasional memenangi mandat yang kuat dalam pilihan raya akan datang.

Yeoh berkata apa yang dikatakan perdana menteri itu adalah “memalukan” dan menuduhnya “mengurangkan Wanita Umno”, yang dipanggil beliau sebagai tulang belakang partinya.

“Amat memalukan untuk menyampaikan ucapan sedemikian.

“Tetapi sekali lagi, adakah mungkin ramai wanita dalam BN sanggup dilayan seperti ini dan tidak peduli selagi mereka terus menikmati faedah, dan apatah lagi, faedah di belah atasan?

“Amat memalukan untuk Perdana Menteri bercakap seperti ini!” katanya dalam posting di laman Facebook hari ini.

Beliau mengulas berhubung kenyataan Najib yang menyatakan BN akan menambah kuota senator wanita sekiranya pakatan pemerintah menang mandat besar pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, BN memerlukan undi majoriti sekiranya mahu perubahan itu dilakukan.

“Jika kita mendapat majoriti yang diperlukan pada pilihan raya akan datang, kita boleh menambah kuota untuk tidak kurang 30% senator wanita,” katanya ketika berucap pada persidangan Women in Politics Kuala Lumpur 2017 hari ini yang diadakan sempena Perhimpunan Agung Umno tahun ini.

Yeoh juga berkata, barisan exco kerajaan Selangor 22008 juga sudah terdiri daripada 40% wanita dan partinya DAP mengetepikan 30% kerusi mereka di Selangor untuk calon wanita pada pilihan raya 2013.

Katanya jika Najib ikhlas mahu memperkasakan wanita dalam politik, beliau hanya perlu lakukan dua perkara mudah.

“Pertama, (beliau boleh) mempunyai 30% wanita dalam Kabinetnya. Ini adalah dalam kawalannya. Tidak perlu untuk tunggu menang PRU14 untuk lakukannya.

“Kedua, (beliau boleh) ketepikan 30% kerusi Umno pada PRU14 untuk Wanita Umno. Sekali lagi, ini adalah dalam kawalannya. Tidak perlu untuk tunggu menang PRU14 untuk lakukannya.”

– https://www.themalaysianinsight.com

.