CABARAN & HARAPAN KEPADA SIDANG RAJA-RAJA

PERSIDANGAN ke-242 Majlis Raja-Raja akan diadakan minggu hadapan antara 11 hingga 13 Oktober.

[PERINGATAN: Komen guna “Anonymous” tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account atau Name/URL. Boleh pakai nama samaran.]

Itu yang saya baca dalam laman web rasmi Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu (di sini).

Deklarasi Rakyat (dengan 1.2 juta penandatangan) merapat sembah kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia.

Daulat Tuanku.

Tun Dr Mahatahir Mohamad, sebagai wakil Deklarasi Rakyat, telah menghadap dan menyerahkan deklarasi itu kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah, di Istana Anak Bukit, Alor Star pada 15 September lalu.

Beliau juga telah mengutus surat kepada semua Raja-Raja Melayu mengenai hal yang sama.

Titah Raja, Tindakan Kerajaan
Sudah dua persidangan berturut, kemusykilan rakyat jelata mengenai pemerintahan negara telah dibincang dan dihebahkan kepada umum oleh Majlis Raja-Raja.

Dalam mesyuarat ke-239 pada bulan Oktober tahun lalu, Raja-Raja talah mengeluarkan kenyataan akhbar memerintahkan kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat. (Baca di sini).

Apa yang berlaku?

Siasatan 1MDB diberhentikan separuh jalan. Tidak ada siapa dibabitkan apatah lagi dikenakan tindakan. Keputusan siasatan oleh Ketua Juruaudit Negara diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi. Hutang 1MDB, menurut laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), meningkat daripada RM42 bilion kepada RM50 bilion pada bulan Januari tahun ini. Nama Malaysia busuk di seluruh dunia.

Kemudian, dalam persidangan ke-240 pada bulan Februari tahun ini, Majlis Raja-Raja berpendapat sesetengah peruntukan Akta Majlis Keselamatan Negara wajar diperhalus (refined).

Raja-Raja menyatakan pendapat itu setelah mendengar taklimat oleh Peguam Negara (Tan Sri) Mohamed Apandi Ali.

Kenyataan akhbar oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad, berkata Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sebagai pengerusi mesyuarat akan menulis surat kepada Perdana Menteri mengenai hal itu.

Apa yang berlaku?

Sepanjang pengetahuan kita, tidak ada penghalusan (refinement) dilakukan ke atas akta itu. Sebaliknya ia dikuatkuasakan menjadi undang-undang pada 1 Ogos lalu tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

Persoalannya apakah kerajaan yang diketuai oleh Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, berkuasa mutlak dan kebal?

Harapan Rakyat

Dan apakah yang boleh diharapkan oleh rakyat kepada Raja-Raja mereka?
Mereka hanya boleh menanti dan melihat apa yang Raja-Raja mereka akan lakukan dalam sidang minggu hadapan?

Kata Tun Sri Lanang:

“…Raja-Raja itu umpama api,
segala Perdana Menteri umpama kayu,
kerana api itu jikalau tiada kayu,
tiada akan nyala.
Rakyat itu umpama akar,
raja itu umpama pohonnya,
jikalau tiada akar
nescaya pohon tidak dapat berdiri.
Demikian Raja-Raja itu
dengan segala rakyatnya..”

Wallahuaklam.

Daulat Tuanku.

– kadirjasin.blogspot.m

.