CABAR KIT SIANG BERTANDING DI SELANGOR

SHAH ALAM – Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dicabar bertanding di Selangor pada PRU14 nanti, jika ingin melihat sama ada beliau diterima pengundi di negeri ini ataupun sebaliknya.

Ketua Umno Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang itu berani membuat formula ‘10+5 peratus’ kerana beliau tidak bertanding di Selangor.

“Saya cabar beliau bertanding di sini dan lihat sendiri penerimaan pengundi bagaimana. Formula itu hanyalah gambaran beliau sendiri, namun sebarang perubahan tidak mustahil berlaku pada PRU akan datang.

“Beliau sibuk dengan formula ‘10+5 peratus’, walhal perkhidmatannya sebagai wakil rakyat di kawasan sendiri masih gagal dilunaskan, kini sibuk membuat bayangan kemenangan,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas berkenaan Formula ‘10+5 peratus’ Kit Siang bahawa BN dijangka mengalami kemerosotan enam kerusi (11 peratus) berbanding Pakatan Harapan yang meningkatkan kemenangan sebanyak 50 kerusi (89 peratus).

Mengulas lanjut, Azhari berkata, formula itu adalah satu usaha untuk menutup kelemahan Pakatan Harapan selepas kegagalan mereka dalam menganjurkan sebuah program di Shah Alam, Ahad lalu.

“Saya nampak keserasian sesama mereka masih gagal untuk diwujudkan sehingga kini, jadi bagaimana pula mereka hendak meraih kemenangan jika tiada kerjasama.

“Kita boleh lihat sendiri tiada kesepakatan sesama mereka dalam banyak isu, bagaimana dia boleh kata Pakatan Harapan mampu merampas beberapa negeri di bawah BN,” katanya.

– Sinar Harian

.