BUNUH RAKAN SEBAB SELALU MINTA DUIT

JAKARTA – INDONESIA. Seorang pemandu Riko Lesmana, 41, dan rakannya Rudi Hartono, 34, ditahan polis atas tuduhan melakukan dan bersubahat membunuh Sopyan Lubis, 43.

Ketua Polis Cipayung, Dedi Wahyudi berkata, pelaku utama, Riko bertindak membunuh mangsa kerana berang dengannya yang selalu meminta wang daripadanya.

“Motifnya kerana marah, mangsa sering meminta wang,” kata Dedi dipetik Detik.com.

Riko memukul Sopyan di sebuah rumah di wilayah Jati Makmur, Bekasi dengan sebatang besi sehingga mati.

Pelaku yang panik apabila melihat mangsa telah meninggal dunia meminta rakannya, Rudi untuk menghapuskan bukti pembunuhan.

Mayat mangsa dibawa ke sebuah rumah di Kampung Kramat, Cipayung, Jakarta Timur.

Kedua pelaku kemudian menggali sebuah lubang dan meletakan mayat mangsa  di dalamnya dan kemudian menimbus lubang itu dengan simen bagi menutup perbuatan itu.

Bagaimanapun perbuatan lelaki itu terbongkar selepas isteri suspek curiga dengan perbuatan mereka dan membuat laporan polis.

Polis percaya mayat mangsa turut dicincang sebelum ditanam kerana mereka gagal mencari semua bahagian badan mangsa.

SINAR HARIAN

.