Buktikan BERSIH mahu tumbangkan kerajaan, cabar DAP

Ahli Parlimen Serdang dari DAP, Ong Kian Ming mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan agar membuktikan dakwaan beliau mengenai BERSIH untuk menggulingkan BN daripada tampuk pemerintahan kerajaan sedia ada.

“Saya cabar beliau untuk tunjukkan secara tepat kepada kita bagaimana BERSIH mahu menumbangkan kerajaan.

“Tiada satupun daripada tuntutan BERSIH untuk tujuan itu. (Tuntutan mereka) adalah pembaharuan institusi dan pilihan raya,” jelasnya kepada sidang media di ibu pejabat DAP, Kuala Lumpur, hari ini.

Walaupun BERSIH menuntut peletakan jawatan Datuk Seri Najib Abdul Razak selaku perdana menteri, ia tidak sama seperti usaha untuk menumbangkan BN sebagai parti pemerintah, kata Ong.

Semalam, Abdul Rahman dilaporkan akan minta Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) untuk tidak lagi menganugerahkan kontrak kerajaan kepada mana-mana syarikat yang mempunyai kaitan dengan BERSIH.

Dalam tweetnya, Abdul Rahman berkata, beliau bersetuju dengan pandangan penulis ruangan pojok Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia yang mahu kerajaan menyenarai hitamkan syarikat terbabit.

“Saya ambil maklum pandangan Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia hari ini.

“Awang Selamat menulis mengenai ada syarikat-syarikat yang menaja perhimpunan haram BERSIH dengan tujuan menggulingkan kerajaan tetapi pada masa yang sama syarikat-syarikat ini mendapat kontrak dari kerajaan.

“Saya bersetuju dengan pandangan beliau bahawa syarikat berkenaan perlu disenarai hitamkan dan akan minta EPU dan UKAS untuk melihat semua latar belakang syarikat yang memohon kontrak kerajaan melalui mereka,” jelas beliau.

MKINI

.