‘BUKAN POLIS TUMBUK, TAPI GENG BERSIH’ – JAMAL

AMPANG – Pemimpin Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos menafikan bahawa beliau menyebut polis telah menumbuknya dalam pergelutan di sebuah pusat beli-belah, di sini, semalam.

“Pada waktu itu berlaku pergelutan, bukan saya sebut polis pukul saya, tetapi saya ingin beritahu kepada polis bahawa saya dipukul. Sebab itu saya minta laluan kepada polis sebab saya mahu kejar individu yang tumbuk curi sehingga saya berdarah, itu maksud saya.

“Tapi mungkin suasana kelam kabut itu saya seolah-olah berkata polis pukul saya, tetapi yang pukul saya adalah individu dari kumpulan Bersih,” katanya.

Beliau berkata, bukan pihaknya yang memulakan provokasi.

“Apabila dilihat video di YouTube atau media sosial, seolah-olah kami bergaduh dengan polis, kami bukan bergaduh dengan polis, kami mohon kepada mereka beri laluan untuk kami kejar individu itu,” katanya.

Beliau berkata, sepatutnya polis menahan individu yang menumbuk dan mencederakannya.

“Kami tidak mempertikai dan menghalang kerja polis, itu kerja mereka, kami mohon kepada polis agar bersikap adil,” katanya pada sidang media di hadapan Balai Polis Pandan Indah, di sini, hari ini.

Jamal dipanggil ke balai polis untuk sekali lagi diambil keterangan berhubung insiden beliau ditumbuk di pusat membeli belah itu.

Difahamkan, rakaman percakapan oleh polis itu turut mempunyai kaitan dengan dakwaan beliau yang dipercayai merancang untuk membalas dendam ke atas individu yang menumbuknya.

Dalam perkembangan lain, Jamal turut mengesahkan pihaknya akan tetap meneruskan perhimpunan pada 19 November ini di ibu negara, sekiranya kumpulan Bersih 5 berdegil untuk terus berhimpun meskipun dinasihatkan polis untuk menghentikannya.

“Kami telah menegaskan tidak ada kuning, tidak ada merah, kalau Bersih 5 meneruskan himpunan, kami tetap akan menghalang mereka,” katanya.

SINAR HARIAN

.