BUKAN PAS GUGUR JAWATAN MUSTAFA – TUAN IBRAHIM

KOTA BHARU – Pas menjelaskan pertukaran jawatan lama Datuk Mustafa Ali sebagai Pengarah Pilihan Raya parti bukan sengaja digugurkan tetapi dilakukan atas permintaan beliau sendiri.

Penjelasan tersebut sekali gus menafikan pandangan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang mendedahkan bahawa kecenderungan ke arah Pakatan Harapan punca sebenar Mustafa digugurkan daripada jawatan lamanya.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Mustafa mengadakan pertemuan dengan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan hasrat tersebut sebelum pemilihan berlangsung.

“Cikgu Pa minta supaya kalau boleh diberi laluan kepada tokoh-tokoh baharu kerana dia sudah lama dan pada pandangan beliau juga sudah sampai waktunya barisan pelapis diangkat.

“Beliau bersedia menjadi penasihat dan pembimbing kepada parti menjelang pilihan raya ini. Presiden juga telah melihat cadangan beliau ini sebagai positif dan kita wujudkan satu jawatankuasa untuk menjadi penasihat kepada presiden,” katanya kepada media, hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan mesyuarat bagi penganjuran Ijtimak Perpaduan Ummah Rantau Asia di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan di JKR 10 yang bakal berlangsung pada 21 hingga 23 Julai nanti.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim memaklumkan, perkara sama berlaku kepada Datuk Iskandar Abdul Samad di Selangor yang mana kata beliau, bekas Pesuruhjaya Pas negeri itu sekarang dinaikkan pangkat kepada Penyelaras Zon Tengah dan Selatan.

“Tanggungjawab dia lagi besar, perlu menjaga Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor khusus dalam persiapan menghadapi PRU 14 nanti.

“Perubahan ini kita buat di Johor dan Terengganu dan tidak timbul soal gugur jawatan,” katanya.

Dalam isu barisan kepimpinan baharu ini Pas dilihat oleh sesetengah pihak sedang berusaha menjauhkan golongan yang tidak lagi sefahaman dengan parti.

– SH

.