BUKAN MALAYSIA YANG UNDANG DIPLOMAT ISRAEL

PUTRAJAYA menafikan mengundang diplomat Israel ke Forum Bandar Sedunia Kesembilan (WUF9) yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menteri Luar Anifah Aman sebaliknya berkata, penyertaan Israel adalah berdasarkan jemputan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui agensinya iaitu Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat) selaku penganjur WUF9.

“Kita ingin tegaskan tidak seperti surat jemputan kepada negara lain, surat undangan kepada Israel bukan ditandatangani oleh mana-mana pegawai Malaysia.

“Sebaliknya, ia ditandatangani Pengarah Eksekutif UN-Habitat, selaras Perjanjian Negara Penganjur (HCA) yang dimeterai antara organisasi berkenaan dan Malaysia,” kata Anifah dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Anifah, artikel III perjanjian itu antaranya menyatakan penyertaan dalam forum yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 7 hingga 13 Februari lalu itu dibuka kepada seluruh keanggotaan PBB dan mana-mana agensi pengkhususan.

“HCA ini adalah syarat bagi mana-mana persidangan PBB untuk diadakan di luar mana-mana ibu pejabat PBB yang sedia ada,” katanya.

Semalam, Pengerusi Amanah Terengganu Raja Kamarul Bahrin Ahmad yang juga ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata tindakan Putrajaya membenarkan kemasukan diplomat Israel ke Malaysia membuktikan mereka mempunyai hubungan dengan negara Zionis itu.

PAS hari ini menyelar tindakan Putrajaya yang membenarkan kemasukan diplomat Israel ke negara ini untuk menghadiri persidangan WUF9.

Anifah berkata hari ini, pendirian Malaysia terhadap Israel tidak berubah dan sebarang penyataan sebaliknya yang didalangi segelintir pihak berhubung perkara berkenaan sekadar berniat jahat dan berbahaya.

“Harus diingatkan, pelbagai pihak menyatakan WUF9 dikelolakan dengan jayanya dengan menyaksikan peningkatan profil dan mencerminkan pencapaian Malaysia dalam mempromosi, menyuarakan serta melaksana agenda bandar baharu.

“Selain itu, forum ini menyaksikan penyertaan lebih 25,000 orang membabitkan perwakilan dari 69 negara di peringkat menteri.

“Rakyat Malaysia harus bangga dengan kejayaan negara menganjurkan forum berprestij dan penting ini,” katanya.

Baru-baru ini The Times of Israel melaporkan Kementerian Luar negara itu mengesahkan kunjungan diplomat terbabit ke Kuala Lumpur.

Jurucakap Kementerian Luar Israel Emmanuel Nahshon berkata diplomat negara itu menghadiri satu persidangan WUF yang berlangsung selama seminggu di Kuala Lumpur.

Menurut laporan itu, delegasi dari negara berkenaan diketuai Timbalan Duta Israel ke PBB, David Roet dan mereka menyertai persidangan Program Petempatan Manusia PBB, atau dikenali sebagai UN-Habitat.

Pada Mac 1997, semasa Dr Mahathir Mohamad jadi Perdana Menteri, pasukan kriket Israel dibenarkan menyertai  Kejohanan Kriket Trofi Majlis Kriket Antarabangsa (ICC), atas semangat kesukanan.

Kehadiran pasukan kriket itu dibantah oleh sebahagian umat Islam yang mengadakan tunjuk perasaan dekat Universiti Malaya.

Malaysia tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara sejak ditubuhkan pada 1948 dan sentiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin melawan penjajahan negara Zionis itu.

– https://www.themalaysianinsight.com

.