‘BUKAN KALI PERTAMA PEMIMPIN UMNO LEPAS DARI TINDAKAN’

Anggota Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul berkata beliau tidak terkejut dengan keputusan untuk tidak mendakwa bekas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Tan Sri Annuar Musa berhubung tuduhan rasuah.

“Saya tidak terkejut dengan keputusan ini malah sudah menjangkakannya kerana kita dapat lihat sendiri ini bukan kali pertama pemimpin Umno BN dilepaskan daripada sebarang tindakan undang-undang.

“Apa yang menimbulkan persoalan, adakah tindakan siasatan sebelum ini hanya sandiwara politik yang cuba ditonjolkan untuk menutup mulut rakyat?” soalnya dalam kenyataan media hari ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki sebelum ini dilapor berkata pihak pendakwa raya mendapati tiada bukti mencukupi untuk mendakwa Annuar berhubung isu tajaan pasukan bola sepak Kelantan.

Isu itu pada mulanya didedahkan selepas Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa MARA dan UniKL mengeluarkan dana bagi menaja The Red Warriors.

Annuar menafikan kedua-dua agensi itu dipaksa menaja pasukan berkenaan, sekali gus menolak kemungkinan wujud salah guna kuasa.

Bagaimanapun Johari berkata alasan diberikan SPRM untuk tidak mendakwa Annuar seolah-olah hanya untuk “melepaskan” pemimpin Umno itu.

“Sekiranya ada kes yang melibatkan pimpinan pembangkang sudah pasti akan ada kes terpilih yang dibuat dan didakwa segera kononnya untuk memperlihatkan bahawa SPRM ini adalah adil dalam melaksanakan tugas mereka.

“Justeru, saya menggesa pihak SPRM tegas dalam isu rasuah ini dan menjalankan tanggungjawabnya dengan bebas tanpa ada sebarang tekanan politik,” kata Johari.

– M’kini

.