BUDDHA MALAYSIA KECAM, KUTUK TINDAKAN PELAMPAU AGAMA

PERSATUAN Penganut Buddha Malaysia (MBA) mengecam keras tindakan kejam puak pelampau Buddha di Myanmar yang melakukan keganasan terhadap etnik minoriti Muslim Rohingya.

Pembantu Setiausaha Kehormat Persatuan Penganut Buddha, Loo Keat Seng berkata, sebagai seorang Buddha kami tidak dididik untuk bertindak ganas dalam apa jua keadaan sekali pun.

Hal demikian, beliau yakin bahawa seluruh penganut Buddha di Malaysia tidak akan menyokong kekejaman yang dilakukan pelampau Buddha di Myanmar ke atas komuniti Rohingya.

“Agama Buddha tidak pernah ajar kami untuk mengamalkan keganasan.

“Oleh itu, saya tidak fikir para Buddha di Malaysia akan menyokong insiden penghapusan etnik Rohingya,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Keat Seng menyatakan bantahan terhadap dengan gerakan kumpulan pengganas dan pelampau Buddha yang bertanggungjawab ke atas sentimen anti-Islam yang melakukan keganasan terhadap kumpulan minoriti di Myanmar.

“Mereka tidak boleh membunuh orang sesuka hati, agama Buddha tidak pernah mengajar amalan kejam sedemikian.

“Kita tahu mereka bertindak kerana sejarah panjang tentera junta dan etnik berkenaan, namun mereka boleh selesaikan dengan cara yang lebih berhemah dan bijaksana,” katanya.

Tambah beliau, penganut Buddha Malaysia sentiasa berdoa agar krisis pergolakan di utara Myanmar itu dapat diselesaikan dengan segera agar nyawa etnik Rohingya tidak berdosa dibunuh tanpa belas kasihan dapat dihentikan.

– Sinar Harian

.