Budak 12 Tahun Mangsa Seks Kenalan Wechat – Polis

ALOR SETAR – Seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun dipercayai diberikan dadah dan menjadi mangsa seks lelaki yang dikenalinya melalui aplikasi WeChat sejak Januari lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin berkata, perkara itu terbongkar selepas kanak-kanak itu menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital di sini selepas ibunya membuat laporan polis pada Ahad.

Katanya, hasil siasatan mendapati kanak-kanak tersebut mengenali lelaki berusia 24 tahun itu daripada aplikasi WeChat dan dipercayai telah beberapa kali melakukan hubungan seks.

“Kanak-kanak itu mendakwa telah diberi dadah dan polis percaya kanak-kanak itu juga telah melakukan hubungan seks dengan lelaki lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di sini, Isnin.

Katanya, polis telah mengenal pasti identiti lelaki itu yang mempunyai rekod jenayah dadah dan sedang giat memburunya.

Beliau menasihati ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak mereka termasuk dalam penggunaan media sosial bagi mengelak kejadian seperti itu berlaku kepada keluarga mereka.

– Bernama

.