‘BUATLAH SEPERTI MUAMMAR GADDAFI UNTUK TUNJUK BERANI’

Bekas pengarang kanan akhbar Utusan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain berkata, sebagai rakyat biasa, beliau mahu diyakini dengan kesungguhan kerajaan menghalang ‘campur tangan’ Amerika Syarikat (AS) dalam isu saman Jabatan Keadilan (DOJ) mengenai 1MDB.

“Saya sebagai rakyat biasa yang tidak ada apa-apa kuasa mahu melihat tindakan supaya saya yakin dengan kesungguhan kerajaan menghalang “campur tangan” Amerika ini.

“Kalau untuk menunjukkan keberanian mempertahankan tanah air, buatlah seperti Muammar Gaddafi yang mengoyak piagam PBB kerana memprotes.

“Ini soal maruah negara, ayuh buktikan penentangan kita terhadap ‘campur tangan’ Amerika ini,” kata Ku Seman dalam catatan di Facebook beliau.

Beberapa pemimpin BN seperti Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak sebelum ini mendakwa tindakan DOJ sebagai campur tangan asing ke atas kedaulatan negara.

Manakala Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali pula membidas DOJ dan menganggap tindakan itu berbaur politik.

Pada 24 Jun lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam surat terbuka kepada parti-parti politik berkata, campur tangan asing dalam hal ehwal dalaman negara hanya akan membawa kerugian.

Mengulas lanjut, Ku Seman yang berkhidmat lebih 32 tahun dengan akhbar Umno itu berkata, media yang dikawal kerajaan sepatutnya sudah lama menyerang dasar-dasar luar AS yang samseng kepada negara-negara kecil.

“Moga-moga tulisan yang keras dan berani ini dipetik oleh agensi berita luar dan mesejnya sampai kepada sasaran.

“Penulis-penulis yang berani di media kawalan kerajaan mesti bangkit melawan Amerika. Kerja ‘belasah’ pembangkang bagi kepada cybertrooper atau budak-budak stringer saja,” jelasnya.

AS tidak tahu bahawa Malaysia membantah kalau hanya menyerang pembangkang dan individu-individu tertentu, tambah beliau.

“Saya harap kerajaan tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk menyatakan bantahan keras terhadap ‘campur tangan’ Amerika yang paling dahsyat ini.

“Kalau Parlimen kita pun hampir ditelan, hendak tunggu ‘campur tangan’ yang macam mana lagi untuk kita angkat kepala,” tanya Ku Seman.

-mkini

.