BUANG MASA SAYA, KATA ABDUL AZEEZ TENTANG DAKWAAN RAJA PETRA

AHLI Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim mengetepikan dakwaan penulis blog pro-Umno yang mendakwa dia “memperdaya” Mohamed Apandi Ali supaya percaya Azeezlah orang bertanggungjawab memberikan kerja peguam negara kepada Apandi.

Ahli Majlis Tertinggi Umno dan pengerusi Lembaga Tabung Haji itu menolak permintaan untuk menjelaskan rencana Raja Petra dalam blog Malaysia Today yang mendakwa Azeez mahu mengawal peguam negara dengan membuatkan Apandi percaya Azeez mempengaruhi pelantikannya sebagai peguam negara.

“Buang masa saya,” kata Abdul Azeez di lobi Parlimen apabila ditanya mengenai rencana itu.

Abdul Azeez juga berlalu pergi walaupun The Malaysian Insight bertanyakan sekiranya dia akan menyaman penulis blog itu.

Raja Petra dalam rencana bertajuk “Strong rumours surrounding the AG: part 1 and part 2” diterbitkan di blognya, Malaysia Today dua minggu lalu menuduh Azeez mahu mendekati dan meraih percaya Apandi supaya dia boleh mengawal peguam negara dan memperolehi banyak duit apabila ada pihak yang mahu menyelesaikan kes dihadapi mereka.

Apandi menafikan kandungan rencana itu dan membuat dua laporan polis terhadap penulis blog itu dan sebuah lagi laporan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMP).

Polis sedang menyiasat laporan itu kerana memfitnah.

Peguam negara juga mengatakan akan menyaman Raja Petra sekiranya dia tidak meminta maaf.

Antara dakwaan Raja Petra terhadap Apandi adalah peguam negara itu meminta RM4 juta daripada seorang ahli perniagaan Cina yang dikenal pasti sebagai “rakan niaga” Sultan Johor dalam sebuah kes yang dimenanginya.

Raja Petra juga menulis tentang pertemuan yang dikatakan berlaku pada 2015 antara hakim kanan- iaitu bekas Ketua Hakim Negara Arifin Zakaria, Ketua Hakim Negara Md Raud Shariff dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinuddin- dengan seorang ahli politik kanan membincangkan plot menjatuhkan kerajaan.

Apandi menafikan dakwaan korupsi Raja Petra dan bagaimana kononya dia memperolehi jawatan peguam negara dalam rencana itu menambah yang dia akan menyaman Raja Petra “sampai ke akhirat”.

Raja Petra hidup dalam buangan di UK selepas melarikan diri daripada dakwaan jenayah fitnah dan hasutan di Malaysia pada 2006 susulan rencana yang diterbitkannya mengaitkan Perdana Menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor dalam pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

– https://www.themalaysianinsight.com

.