BR1M SUDAH JADI SENJATA TUMPUL BUAT NAJIB, BR1M TANPA GST TUN M TENTU JADI PILIHAN

Tun Mahathir Mohamad ternyata bijak dan licik dalam percaturan politiknya. Dalam sekelip mata saja beliau menjadikan Najib Razak dan pengampunya terduduk apabila BR1M tiba-tiba bertukar menjadi senjata yang tumpul buat mereka.

Selama ini BR1M adalah senjata utama Najib untuk memastikan UMNO dan BN terus berkuasa. Ia digambarkan sebagai tanda prihatin kepada rakyat miskin. Kadang-kadang BR1M juga dijadikan senjata untuk menutup skandal 1MDB, wang RM2,600 juta, kemewahan, pemborosan dan macam-macam onar yang lain.

Lebih dari itu, Najib juga menjadikan BR1M sebagai umpan pilihanraya, meletakkan dalam manifesto dan menyerahkan pemberian melalui pejabat UMNO bahagian-bahagian.

Apabila Tun Mahathir berulangkali menyatakan pemberian BR1M adalah rasuah dan salah di sisi undang-undang, beliau sebenarnya lebih menujukan tentang aspek perlaksanaan dan cara ia disampaikan.

Dari sudut amalan selama ini, sudah tentu ia merupakan rasuah dan salah. Kenapa mesti pejabat UMNO yang menyampaikannya sedangkan ia hasil kutipan wang rakyat tanpa mengira fahaman politik?

Ramai yang menjangka Tun Mahathir akan terus menolak dan mungkin menghapuskan BR1M berdasarkan pendiriannya sebelum ini.

Tetapi, dengan bijak dan licik beliau menukar BR1M menjadi suatu pemberian yang halal untuk rakyat miskin, tidak terkait dengan politik dan dijamin dari segi undang-undang.

Tun Mahathir tidak melakukan U-Turn apabila bersetuju mengekalkan BR1M, tetapi hanya menukar cara perlaksanaannya yang menimbulkan banyak persoalan dan pertikaian selama ini.

Malah, BR1M kini sudah menjadi senjata yang boleh menikam Najib. Tidak menyokong Najib dan menolak UMNO serta BN pun tetap juga akan mendapat BR1M, tetapi dalam bentuk yang lebih baik dan terjamin.

Mari kita hayati kembali apa yang Tun Mahathir sebut mengenai BR1M dalam ucapan semasa majlis pelancaran Bersatu baru-baru ini:-

“122. Kita akan tentukan rasuah berbentuk wang atau barangan lain tidak akan diberi kepada pengundi di apa juga peringkat untuk mendapat sokongan dalam pilihanraya.

“123. Jika didapati BR1M mustahak maka wang ini akan diagih oleh pegawai Kerajaan. BR1M tidak boleh dimasukkan dalam mana-mana manifesto mana-mana parti.

“124. Jika dipersetujui oleh rakyat BR1M akan dijadikan bantuan statutory yang ditentukan oleh undang-undang dan budget biasa. Perdana Menteri tidak boleh tentukan pemberian ini atau jumlahnya, atau cara penyampaiannya.

“125. Sesungguhnya yang miskin dan daif akan diberi bantuan supaya mereka boleh hidup sempurna. Soal mereka sokong atau tidak parti campuran pembangkang tidak akan diambilkira dalam bantuan yang akan diberi.”

Bijaknya Tun Mahathir dalam hal ini ialah beliau sedar matlamatnya adalah untuk menang piliharaya dan mahu mengalahkan Najib, UMNO dan BN.

BR1M mempunyai penerima kira-kira 7.2 juta orang dan dengan menjadikannya suatu pemberian yang sah di sisi undang-undang serta tidak terkait dengan mana-mana parti politik, mereka pasti akan beralih menyokong Bersatu dan Pakatan Harapan dalam pilihanraya akan datang.

Lebih membuatkan rakyat akan berbondong-bondong meninggalkan Najib, UMNO dan BN ialah Tun Mahathir juga berjanji untuk menghapuskan GST, suatu bentuk cukai yang banyak memberi kesusahan kepada rakyat, daripada bayi yang baru lahir hinggalah kepada mereka yang diambang mahu diambil nyawanya.

“103. GST akan dihapuskan secara beransur-ansur dan diganti dengan sales tax (cukai jualan) mengikut selera rakyat.”

Selama ini Najib memberi BR1M dengan anggaran perbelanjaan bagi 2016 ialah RM5.9 bilion tetapi mengautnya kembali daripada rakyat melalui GST sebanyak RM41 bilion setahun.

Untuk tahun 2017, dilaporkan sasaran kutipan GST ialah RM42 bilion.

Dengan itu, BR1M yang diberi Najib tetapi disertai dengan kutipan GST yang lebih tinggi, ia tidak lebih hanyalah suatu sandiwara dan silap mata semata-mata. Beri sikit, kautnya lebih.

Berbeza dengan iltizam Tun Mahathir di mana beliau mahu terus memberi BR1M dalam bentuk baru yang tidak lagi diragui, sama seperti bantuan kepada orang miskin, orang tua dan penganggur yang diamalkan di beberapa negara, bahkan dalam masa yang sama rakyat akan dibebaskan daripada cengkaman GST.

Pilihan antara BR1M yang disertai GST dengan BR1M tanpa GST, agak-agaknya banyak mana sokongan yang tinggal untuk Najib?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.